Thursday, May 20, 2010

Peguam syarie mesti Islam

Oleh Haspaizi Mohd Zainhaspaizi@bharian.com.my
2010/05/20

Peraturan termaktub dalam enakmen syariah wajar dipatuhi

KUALA LUMPUR: Hanya orang Islam layak menjadi peguam syarie manakala pihak lain perlu mematuhi peraturan seperti ditetapkan mengikut enakmen syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata perkara itu sudah termaktub dalam enakmen syariah berkenaan serta diguna pakai mahkamah syariah di seluruh negara dan sesiapa yang ingin menjadi peguam syarie perlu memeluk agama Islam terlebih dulu.
“Peraturan untuk menjadi Peguam Syarie tidak boleh suka-suka ia perlu dipatuhi dan peraturan utama yang perlu dipatuhi adalah beragama Islam.

“Jika mengambil kira mengenai agama Islam, tidak ada masalah untuk seseorang (bukan Islam menjadi peguam syarie) jika sudah masuk agama Islam dan semua boleh jadi peguam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini, membenarkan permohonan seorang peguam wanita bukan Islam mengemukakan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang enggan menerimanya menjadi peguam syarie.

Victoria Jayaseele Martin menjadi peguam pertama bukan beragama Islam mencabar keputusan itu dan turut memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan MAIWP yang enggan memproses permohonannya diterima menjadi peguam syarie, selain perintah responden menerima permohonannya tanpa mengira beliau bukan Islam.

Mengulas tindakan Victoria itu, Jamil berkata, beliau tidak mengerti tindakan pihak berkenaan dan apa agendanya berbuat demikian kerana peraturan jelas menyatakan peguam syarie mesti beragama Islam.

“Kita tunggu di mahkamah, kita bercakap soal peraturan, jadi apabila bercakap soal peraturan apakah beliau mematuhi peraturan atau tidak, jika peraturan tidak dipatuhi macam mana hendak kata setuju atau tidak setuju. “Masalah lebih besar akan berlaku apabila berlaku penghinaan atau pertentangan kepada mahkamah, dalam hal ini di Mahkamah Syariah ia akan dibawa oleh orang Islam, ia adalah enakmen dan peraturan Mahkamah Syariah seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, jika bukan Islam dibenar menjadi peguam syarie ia akan menimbulkan beberapa masalah terutama dalam hal yang berkaitan dengan al-Quran atau hadis.

No comments: