Sunday, September 12, 2010

Takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamha Datuk Sosilawati Lawiya..

Mayat dibakar di ladang ayam



KUALA LUMPUR – Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.

Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.

Motif pembunuhan belum dapat dipastikan.

Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.

Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

“Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.

“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua dakwaan itu.

Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan.

Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak semalam mendapati pintu pagar rumah tersebut bertutup dan tidak nampak seperti suasana berhari raya.

Seorang lelaki yang merupakan pekebun di rumah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Sosilawati masih belum mendapat apa-apa perkembangan berkenaan kehilangan jutawan itu daripada pihak polis.

Katanya, pihak keluarga juga itu enggan diganggu. Beliau memberitahu, hari raya tetap disambut meskipun tanpa adanya tuan rumah.


Tuesday, September 7, 2010

Bagaimana acuan begitulah kuehnya.

Semalam saya ke kedai kain di pekan. Sebaik masuk ke kedai tersebut ada satu keluarga -ibu dan dua anak perempuannya sedang meninjau-ninjau mencari baju. Kebetulan tidak ramai orang di situ kerana kedai baru saja buka. Saya agak terkejut mendengar perbualan anak perempuan yang besar kepada adiknya..

kakak : " bodoh bangang, baju punya banyak tak tahu nak pilih mana, cepatlah bodoh!!" (astaghfirullah, istighfar saya)

kemudian datang jurujual yang sentiasa cool, melayan keinginan adiknya dan bertanya kepada adik tersebut..

Jurujual : " kakak (yang dimaksudkan ialah adik) nak cari yang macam mana?
Adik : "yang hitam putih"
Jurujual : "ada-ada hitam putih ada. kejap ye.

tak semena-mena ibu kepada 2 anak perempuan tadi bersuara agak serius kepada jurujual itu tadi..

Ibu : "Hey, yang kau panggil dia kakak tu apasal??? Dia ni baru je 12 tahun, kau ingat dia lebih besar dari engkau ke??? kau tu umur berapa?? tanya si ibu kepada jurujual.

jurujual : "17 tahun"

ibu : ha dia lagi muda dari kau!!! tinggi je nada suara si ibu

dan jurujual itu pun berlalu sambil tersenyum.

oh, dalam hati saya patutlah anak perempuan dia tadi cakap sebegitu rupa pada adiknya.. benda panggil kakak adik pun nak jadi isu besar. Apalah salahnya bercakap dengan sopan santun, tidak rugi kan. Tidak ada apa pun yang luak.

anak-anak itu umpama kain putih bersih, ibu bapa lah yang mencorak kannya. Wallahu a'lam.

Jutawan Kosmetik Datuk' Sosilawati hilang.

Jutawan kosmetik gagal dihubungi selepas ke Banting untuk urusan beli tanah



KUALA LUMPUR: Pengasas Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dikatakan sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit suaminya beberapa jam sebelum dilaporkan hilang ketika ke Banting, Selangor untuk menguruskan pembelian tanahnya pada 30 Ogos lalu.

Tanpa mendedahkan butiran SMS itu, sumber memberitahu Berita Harian, ia adalah komunikasi terakhir antara jutawan kosmetik berkenaan dengan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan berasal dari Indonesia.

Sosilawati dan suaminya jarang bertemu, sebaliknya lebih banyak berhubung melalui telefon dan SMS kerana masing-masing sibuk menguruskan perniagaan. Tidak pasti apa kandungan SMS itu, namun Sosilawati dipercayai memaklumkan suaminya bahawa beliau mahu ke Banting selama tiga hari meninjau projek terbarunya.

Itulah komunikasi terakhir Sosilawati dengan suaminya sebelum dilaporkan hilang. Difahamkan, suaminya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dimatikan. Kehilangan Sosilawati juga hanya diketahui suaminya selepas dihubungi oleh anak-anak mangsa, katanya.

Semalam, Berita Harian melaporkan kehilangan Sosilawati yang juga bekas isteri penyanyi Nash sejak seminggu lalu bersama tiga lagi individu ketika terbabit dalam pembelian tanah di sebuah lokasi di Banting, dipercayai mahu dibangunkan sebagai ladang herbanya.

Turut hilang peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dari Tetuan Kamaruddin & Partners; pegawai kredit CIMB Bank, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu peribadinya, Kamaru-
din Shansuddin, 44, yang baru bekerja dengan jutawan itu.
Difahamkan, mereka ke Banting menaiki dua kereta mewah berlainan, masing-masing jenis BMW X5 warna hitam bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati dan BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 dipercayai Ahmad Kamil.

Selain Sosilawati, ahli keluarga Ahmad Kamil, Noor-hisham dan Kamaruddin turut membuat laporan polis semalam berhubung kehilangan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang media di Bukit Aman, berkata pihaknya akan meneliti semua panggilan terakhir dan SMS yang dibuat oleh keempat-empat mangsa bagi mendapatkan petunjuk misteri kehilangan mereka.

Tumpuan siasatan kini lebih kepada semakan rekod panggilan dan SMS terakhir dibuat Sosilawati dan tiga individu yang menemaninya itu. Polis juga akan mengambil keterangan ahli keluarga mereka bagi memperoleh maklumat terperinci berhubung individu terakhir yang bercakap, bertemu atau berbual dengan mereka, katanya.

Ditanya sama ada keempat-empat individu itu diculik penjenayah, beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kerana siasatan sedang dijalankan dan belum ada sebarang bukti sahih yang boleh dikaitkan dengan motif itu.

Monday, September 6, 2010

Persiapan menyambut lebaran.

Assalamualaikum wbth,

Sudah agak lama saya tidak mengupdate blog saya ini, bukannya tak ada benda yang hedak direkodkan, sebenarnya banyak antaranya event2 SAMTTAR sepanjang Ramadhan Al-Mubarak ini dan cerita-cerita family saya. Tetapi rasanya saya tidak ada mood langsung untuk menaip mungkin kerana letih. InsyaAllah Selasa ini ada majlis khatamul Quran di Masjid berdekatan dan anak2 saya turut menyertainya. Ia program tadarus untuk remaja. Jadi saya sudah berangan-angan untuk merekodkannya di dalam blog saya ini. InsyaAllah.

Entah kenapa tahun ini tidak berapa ada mood untuk sibuk2 shopping raya. Mungkin kerana tahun lepas kami sudah banyak bershopping, so tahun ni anak-anak pakai lah apa yang ada. Baju melayu dan baju kurung tahun lepas masih elok dan cantik lagi, size pun masih selesa dipakai. Lepas raya tahun lepas terus hantar dobi baju-baju melayu, kurung dan songket gantung plastik dan terus simpan almari. Kasut-kasut pun masih baru, cuma anak perempuan beli kasut baru kerana tahun lepas pakai sandal saja.

Percaya atau tidak kasut raya saya sudah 4 tahun tidak bertukar. Jenis saya ni agak teliti menjaga kasut-kasut yang saya kira 'bernilai', sekali beli boleh pakai bertahun-tahun. Jadi saya polish dan simpan baik-baik. Kata orang kalah membeli menang memakai. Satu penjimatan alhamdulillah.


Biskut-biskut raya pun tak beli lagi hingga saat ni, tapi kerepek banyak juga itupun yang diberi orang. Biasanya bila nak dekat-dekat hari raya, suami ada menerima hamper yang berisi kueh-kueh raya, jadi kami berkira-kira juga tahun ini kalau dapat itu sajalah biskutnya, kalau tak ada, cukuplah kerepek2, kacang2 yang ada. Lagipu kebiasaannya biskut2 tu tidak dimakan orang dah bila dah banyak hari raya. Teringat beberapa tahun dulu saya mengtongsampahkan berbekas tat nenas dan almond london kerana sudah expired. Satu pembaziran!

Tahun ini cuti hari raya masuk dalam cuti pertengahan penggal kedua campur dengan cuti2 ganti yang lain jadi jumlahnya 2 minggu. Hari raya ke-4 rumah terbuka mertua saya di Banting merangkap rumah terbuka saya juga :) tumpang syafaat. Jadi jemputlah hadir pada hari raya ke-4 di Jln sukun Kanchong Darat. Pagi-Petang.

Hari raya pertama balik ke kampu ng halaman saya iaitu rumah ibu saya di Kg. Sungaai Choh Rawang. Khamis-Sabtu InsyaAllah. Kepada semua diucapkan Salam Lebaran, mohon maaf atas salah dan silap, terkasar bahasa, tersinggung kata mohon dimaafi.

Kullu amen wa antum bi khair.