Saturday, April 3, 2010

Penyakit dan Penyembuhan

3/4/2010 (sabtu)
Tulisan DR Musthafa Umar

“dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku,”[Q.S. Asy-Syu’araa : 80]

Ayat ini menerangkan keimanan nabi Ibrahim ‘Alaihissalaam bahawasanya yang menyembuhkan penyakit adalah Allah Subhanahu wata’ala. Keimanan yang seperti itu patutlah kita miliki pula sehingga hidup menjadi lurus dan benar. Bekalan ini adalah penting kerana tidak ada diantara kita yang memiliki jaminan dapat terlepas daripada penyakit.


Makna dan Jenis Penyakit.
Penyakit maknanya apa sahaja perkara yang boleh mendatangkan rasa sakit kepada kita. Ada diantara penyakit itu yang mendatangkan rasa sakit kepada badan kita ; seperti penyakit jantung, paru-paru, kulit dan lain sebagainya. Ada pula penyakit yang mendatangkan rasa sakit kepada akal kita ; seperti lupa dan kurang ingatan. Dan ada pula yang mendatangkan rasa sakit kepada hati atau jiwa kita ; seperti penyakit dengki, sombong, tamak dan lain sebagainya.

Penyakit Adalah Taqdir Allah.
Apapun jenis penyakit yang diderita manusia tidak lepas daripada taqdir Allah Subhanahu wata’ala. Ertinya, Allah-lah yang menetapkan seseorang itu terkena penyakit.

Ada diantara penyakit itu yang bersebab dan ada pula yang tidak bersebab. Daripada sini nampaklah kuasa Allah yang mutlak dalam mentaqdirkan penyakit.

Meskipun penyakit itu datangnya daripada Allah namun kita tidak boleh mengatakan bahawa Allah telah membuat kita sakit, tetapi hendaklah kita mengatakan dengan menyandarkan kepada diri kita sendiri ; seperti ungkapan kita ‘saya sakit’, bukan ‘saya disakitkan oleh Allah’. Ungkapan ini adalah pernyataan sopan santun yang menunjukkan kerendahan hati seperti yang dicontohkan oleh nabi Ibrahim di dalam ayat diatas :”Dan apabila aku sakit, Dia lah (Allah) Yang Menyembuhkan ku”.

Kemudian penyakit yang dijalani oleh manusia dapat pula dibahagikan kepada dua macam : ada penyakit yang ditetapkan sebagai ujian dan adapula sebagai siksaan.

Macam yang pertama bertujuan untuk mengangkat kedudukan orang yang diuji tersebut ; semakin sabar ia dalam ujian menjalani sakit itu maka semakin mulia-lah kedudukannya disisi Allah Subhanahu wata’ala. Umpamanya seperti nabi Ayyuub ‘Alaihissalaam ; bagaimanapun dahsyatnya penyakit yang ditanggung namun tidak sedikitpun melemahkan keimanannya kepada Allah.

Adapun penyakit sebagai siksaan bertujuan untuk menyengsarakan orang yang tengah menjalaninya. Hal itu disebabkan kerana perbuatan dosa yang telah dilakukan. Allah berfirman : ”Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit mereka, dan bagi mereka siksaan yang pedih disebabkan mereka berdusta”. [Q.S. Al-Baqoroh : 10]

Perbezaan penyakit sebagai ujian dengan penyakit sebagai siksaan terletak pada diri orang yang menjalaninya ; ia bukan terletak pada penyakitnya. Boleh sahaja penyakit jantung itu sebagai ujian bagi si A dan sebagai siksaan bagi si B. Penyakitnya sama, namun berbeza dalam menjalaninya. Si A tidak akan sengsara dengan penyakit itu, ia tenang dan penuh keredhoan. Namun si B akan menderita menanggung susah, ia gelisah, takut dan meronta-ronta.

Sama halnya dengan pelajar dan peperiksaan ; pelajar yang rajin tidak akan sengsara dengan peperiksaan yang dihadapi, namun bagi pelajar yang malas tentu peperiksaan itu membuatnya tertekan dan menderita.

Penyembuhan Penyakit Daripada Allah
Apapun jenis penyakit yang diderita manusia ; samada penyakit badan, akal ataupun jiwa, dan apapun macam penyakit tersebut ; samada sebagai ujian ataupun sebagai siksaan, yang akan menyembuhkannya hanyalah Allah, tidak ada yang lainnya.

Ayat diatas menyebutkan dengan jelas : “Dan apabila aku sakit, Dia-lah (Allah) Yang Menyembuhkan-ku”.Maka daripada sini sesiapa yang diuji dengan penyakit maka hendaklah ia berdo’a supaya Allah cepat mengangkat penyakit daripadanya. Seperti berdo’a dengan membaca Ayat Al-Quran :"(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang". [Q.S Al-Anbiyaa : 83]

Dan sesiapa yang merasa disiksa dengan penyakit maka hendaklah ia bertaubat sehingga Allah mengampuni dosanya dan terselamatlah ia daripada ‘penyakit siksaan’ itu. Seperti bertaubat dengan mengucapkan :"Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." [Q.S. Al-Anbiyaa : 87]

Bagi kita, langkah kedua hendaklah sentiasa dilakukan meskipun kita tidak merasa melakukan dosa, kerana boleh jadi kita telah melakukannya sementara kita tidak menyedarinya.Sikap keimanan ini mestilah ditunjukkan dikala mengharapkan penyembuhan daripada penyakit.

Disinilah nilai hidup yang menentukan siapa kita ; hamba-hamba Allah-kah kita atau hamba-hamba yang angkuh dan sombong. Dan sikap keimanan ini sahaja tidak cukup, ia mestilah diiringi pula dengan usaha mencari sebab penyembuhan ; pergi berjumpa dokter, makan obat dan lain sebagainya yang sesuai dengan nilai Tauhid. Apabila penyakit itu berhubungan dengan akal fikiran maka bacalah buku-buku yang betul dan bermanfa’at, bukan buku-buku novel yang penuh dengan hayalan dan cerita kosong. Apabila penyakit itu berhubungan dengan jiwa maka bacalah Al-Quran dan perbanyaklah zikir kepada Allah.

Sesungguhnya penyakit adalah salah satu perkara hidup yang mesti dijalani oleh manusia, maka pastikan penyakit itu yang akan memuliakan kita, bukan yang akan menghinakan kita. Wallahu A’lam.

Disediakan oleh: Al-Faqiir Ilaa Rabbih : Musthafa Umar
http://www.tafaqquh.com/new/

1 comment:

Anonymous said...

'mengossok' jiwa dgn pasrah padanya selalu adalah method menggapai ubatNYA