Monday, June 28, 2010

Isu-isu perubatan menurut perspektif hukum : (PENGGUGURAN KANDUNGAN)

Pengguguran Kandungan
Hukum pengguguran kandungan tidak disebut secara langsung di dalam Al-Quran dan hadis nabi S.A.W. Apa yang dibicarakan secara langsung ialah pengharaman membunuh jiwa dengan cara yang tidak sebenar, membunuh anak kerana bimbang kesempitan hidup pada masa akan datang dan pampasan yang wajib dibayar akibat perbuatan jenayah membunuh kandungan atau menggugur kandungan secara tidak sebenar.

Bertitik tolak dari sinilah para fuqaha’ telah berbeza pendapat mengenai hukum pengguguran kandungan seperti yang dibincangkan pada masa kini.

Status Janin Atau Kandungan Menurut Kacamata Fiqh

Janin mempunyai dua status yang berbeza menurut fiqh. Perbezaan status itu adalah berdasarkan usia janin. Status tersebut adalah seperti berikut:

1- Janin ketika berusia 120 hari dan ke bawah adalah sama dengan anggota manusia.
2- Janin ketika berusia 120 hari dan ke atas adalah hampir sama dengan manusia biasa.

Perbezaan di antara janin ini dengan manusia ialah manusia hidup di alam nyata manakala janin hidup dalam rahim.
(11)

Definisi Pengguguran Kandungan

Pengguguran kandungan ialah mengeluarkan kandungan dari rahim sebelum tiba tempoh bersalin dengan tujuan untuk mematikan kandungan tersebut.

Hukum Pengguguran Kandungan

Hukum pengguguran adalah bergantung kepada status janin sebagaimana yang telah sebut sebelum ini. Oleh itu, hukum pengguguran terbahagi kepada dua keadaan iaitu :

(a) Pengguguran Kandungan Berusia 120 Hari Dan Ke atas
Para fuqaha’ telah bersepakat mengenai pengharaman mengugurkan kandungan yang telah berusia lebih dari 120 hari melainkan ketika dharurat sahaja. Keadaan dharurat tersebut dapat dipastikan melalui kewujudan syarat-syarat yang berikut:
  1. Disahkan oleh pakar perubatan bahawa kandungan itu memberi mudharat besar kepadaibu jika terus dibiarkan berada di dalam rahim ibu.
  2. Bilangan pakar perubatan yang membuat pengesahan tersebut hendaklah bilangan yang boleh menimbulkan keyakinan terhadap apa yang disahkan.
  3. Pakar perubatan yang membuat pengesahan tersebut terdiri dari mereka yang adil danboleh dipercayai.
  4. Mendapat keizinan menggugurkan kandungan dari kedua ibubapa terlebih dahulu.
  5. Tiada cara lain selain menggugurkan kandungan untuk menghindari kemudharatan kepada si ibu.

(b) Hukum Menggugurkan Kandungan Yang Berusia Kurang Dari 120 hari
Tidak harus atau haram menggugurkan kandungan tersebut melainkan apabila wujud keperluan yang diiktiraf oleh syara’. Berkenaan dengan perkara ini, ia hendaklah ditentukan oleh segolongan fuqaha’ yang memang pakar di dalam hal-hal seperti ini.

Berkenaan hukum di atas, muktamar Ribat ( 1971 ) telah membuat resolusi berikut:

Bagi mengeluarkan hukum berkenaan pengguguran kandungan, muktamar ini telah meneliti pendapat-pendapat yang telah dikemukakan oleh para fuqaha’ yang beragama Islam. Setelah dibuat penelitian yang rapi, maka jelaslah bahawa haram menggugurkan kandungan yang berusia lebih dari empat bulan melainkan ketika wujud dharurat yang mendesak bagi tujuan menjaga keselamatan nyawa si ibu. Adapun menggugurkan kandungan yang belum berusia empat bulan ( bermula kewujudan air mani lelaki dalam rahim dan mula membentuk janin ), sekalipun wujud berbagai-bagai pendapat dari kalangan para fuqaha’, pendapat yang paling tepat ialah diharamkan pengguguran kandungan tersebut melainkan ketika wujud dharurat yang mendesak bertujuan menjaga keselamatan nyawa si ibu.

Komentar Tentang Penghadan Usia Empat Bulan

Daripada perbincangan di atas , kita dapati bahawa para fuqaha’ telah membahagikan janin kepada dua keadaan iaitu yang berusia empat bulan ke atas dan yang belum berusia empat bulan .

Pembahagian tersebut tidak dipersetujui oleh sebahagian pakar perubatan . Di antara yang tidak bersetuju dengan pembahagian di atas ialah Dr Hassan Hathut. Beliau berkata:

”Tidak sepatutnya kita hanya menerima apa yang dinyatakan oleh ulama’ silam secara bulat-bulat. Ini kerana mereka membahaskan sesuatu ( yang berkaitan bidang perubatan ) berdasarkan kemampuan dan kemudahan yang wujud ketika itu. Pada masa sekarang terdapat peralatan canggih yang tidak terdapat di zaman mereka. Oleh kerana saya adalah salah seorang pakar perubatan , maka menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan berkenaan permulaan hidup janin. Sebenarnya janin telahpun hidup sebaik sahaja ia mula membentuk sebagai kandungan bukannya selepas empat bulan. Jantung janin mula berdenyut ketika ia berusia lima minggu…….”

Ringkasnya Dr Hassan tidak menyetujui pembahagian janin kepada dua keadaan. Oleh itu bagi beliau haram menggugurkan janin sekalipun sebelum janin berusia empat bulan melainkan jika wujudnya dharurat.

Komentar tersebut ditolak oleh sebahagian fuqaha’. Mereka berhujjah penentuan empat bulan itu adalah dibuat oleh nabi S.A.W bukan berdasarkan kajian perubatan di zaman dahulu. Para fuqaha’ juga menegaskan bahawa penentuan empat bulan itu adalah termasuk dalam perkara ta’abbudiah iaitu perkara yang tidak difahami oleh akal. Tambahan pula, para fuqaha’ tidak menyebut bahawa janin mula hidup ketika berusia empat bulan, apa yang mereka sebut ialah ruh ditiup ketika janin berusia empat bulan.

Resolusi Fiqh Berkenaan Bilakah Permulaan Hidup Manusia
Muktamar Perubatan Islam yang berlangsung pada 15-17 Januari 1985 di Hotel Hilton Kuwait telah membuat resolusi berikut berkenaan permulaan hidup manusia:
  1. Permulaan hidup manusia ialah sebaik sahaja berlaku persenyawaan benih lelaki dan benih perempuan .
  2. Sebaik sahaja terbentuk kandungan dalam rahim perempuan, maka kandungan itu wajib dihormati dan mempunyai hak-hak yang ditetapkan oleh syara’.
  3. Apabila kandungan sampai ke peringkat peniupan ruh – ketika berusia empat bulan atau empat puluh hari – kehormatan kandungan bertambah tinggi .

Beberapa Contoh Keharusan Menggugurkan Janin

( a ) Menggugurkan Janin Kerana Kecacatan
Menurut ilmu perubatan, kecacatan dapat dikesan ketika janin masih berada di dalam kandungan ibunya. Namun begitu jenis kecacatan tersebut adalah berbeza di antara satu sama lain. Oleh itu para fuqaha’ telah berselisih pendapat adakah kecacatan dianggap dharurat yang mengharuskan pengguguran janin.

Pembahagian Kecacatan
Kecacatan menurut ilmu perubatan terbahagi kepada tiga keadaan iaitu :-
  1. kecacatan yang tidak mengancam kehidupan janin,
  2. kecacatan yang menyulitkan kehidupan janin selepas kelahirannya tetapi boleh dirawati
  3. kecacatan yang mengancam kehidupan janin selepas kelahirannya dan tidak boleh dirawati.

Kecacatan yang pertama dan kedua tidak dikira sebagai pengharus kepada pengguguran, manakala kecacatan ketiga pula tempat perbezaan antara pendapat fuqaha’.

Berkenaan kecacatan yang ketiga ini, Perhimpunan Fiqh telah memutuskan :
Sebelum berlalu tempoh seratus dua puluh hari, apabila telah terbukti melalui pengesahan jawatankuasa perubatan yang dianggotai oleh pakar-pakar yang dipercayai bahawa janin mngalami kecacatan serius yang tidak boleh dirawati, dan kecacatan tersebut akan menyulitkan janin dan keluarganya, maka ketika itu harus digugurkan janin tersebut selepas diminta oleh keduai bubapanya.

Manakala Unit Fatwa Universiti Al Azhar pula memutuskan harus digugurkan janin yang berusia sebulan disebabkan penyakit keturunan yang memudharatkan dengan syarat proses pengguguran itu tidak mendatangkan mudharat kepada si ibu.

( b ) Menggugurkan Kandungan Zina
Para fuqaha’ telah berbeza pendapat berkenaan masalah di atas kepada dua pendapat.
Pendapat yang pertama tidak mengharuskan pengguguran akibat zina bertujuan menutup pintu perzinaan dan juga berdasarkan hadis nabi S.A.W berkenaan Al Ghamidiyyah.

Pendapat kedua berpendapat harus digugurkan kandungan tersebut dengan alasan untuk mengelakkan berlaku kecelaruan dalam keturunan.

Penulis secara peribadi lebih cenderung kepada pendapat yang membezakan di antara janin kandungan zina dengan kandungan rogol. Kandungan zina tidak harus digugurkan kerana si ibu secara jelas tidak menghormati maruah dirinya. Manakala kandungan rogol pula harus digugur jika usia janin belum mencapai usia 120 hari dengan syarat mendapat keizinan dari si ibu terlebih dahulu . Ini kerana si ibu tidak bersalah kerana ia telah menjadi mangsa rogol.

Garis Panduan Pengguguran Kandungan
Para fuqaha’ telah meletakkan beberapa garis panduan bagi mengharuskan pengguguran kandungan akibat dirogol. Garis panduan tersebut ialah:
  1. 1- Pengguguran itu berlaku sebaik sahaja berlaku kehamilan.
  2. 2- Janin berusia kurang dari empat bulan.
  3. 3- Teknik pengguguran tidak memudharatkan si ibu.
  4. 4- Permohonan oleh si ibu dari jabatan rasmi yang bertanggungjawab berkenaan kes rogol bagi memastikan jenayah rogol tersebut benar-benar berlaku, memastikan keberkesanan teknik pengguguran dan menjejak si penjenayah.
  5. Hanya hospital-hospital tertentu sahaja yang dibenarkan menjalankan proses pengguguran kandungan.
  6. Alasan untuk menggugurkan kandungan itu hendaklah diteliti oleh jawantankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar perubatan dan pakar-pakar fiqh.

ARTIKEL ASAL

No comments: