Monday, January 25, 2010

Thursday, January 14, 2010

Hari-hari Persekolahan..

Sejak dah mula sekolah ni, masa nak menulis blog agak terhad dicampur dengan penat, letih, mengantuk, banyak homework. Dekat sekolah memang tak sempatlah nak pegang laptop, try jugak nak buka, tapi belum sempat nak buat apa2 baru on kan aje, loceng peralihan waktu mengajar dah berbunyi, nak dibiarkan aje lptop terbuka atas meja, bahaya pulak, maklumlah bilik guru tu tempat yang terbuka, sesiapa saja boleh keluar masuk. Nanti tunggu petang baru ada masa sikit.

Apa nak cerita pun tak tahulah, tak de idea. Sekarang dah masuk minggu ke dua sessi persekolahan. PnP berjalan seperti biasa. Pagi masuk 7.40 sampai 2.30ptg sessi persekolahan berakhir siap pelajar2 solat zohor baru dibenarkan keluar pagar sekolah,sekolah ni satu sessi je, tapi selalunya sampai rumah paling cepatpun pukul 3:15, paling lewat pukul 4.30-5.00 ptg.

Awal2 tahun ni banyak betul meeting itu ini sampaikan aku rasa nak demam, mungkin jugak perubahan jadual harian berbanding cuti akhir tahun lepas. Semua masa mengajar 22 masa seminggu, oklah berkurang sikit dari 26 masa tahun lepas. Alhamdulillah. Tapi tahun ni pulak nampaknya kena pegang 2 kelas peperiksaan PMR dan SPM. Mau tak ngeri aku.. !

Waktu menulis entry ni, badan memang kurang sihat, seram sejuk nak demam, lepas makan nasi petang tadi telan ponstan 2 biji, patutnya lebih selesa kalau dapat tidur, tapi otak ni asyik teringat RPT dan minit yang belum siap2 lagi.. tapi bila dah on laptop tau2 jelah, sasaran pertama mesti nak tengok facebook, kedua tengok blog, ketiga tengok email :)) maka kerja pun makin tak siap2 lah jawapnya.

nampaknya kena stop dululah sampai setakat ni, mata dah mula nak melekat ni sebab tadi dah telan ponstan kot.. Sebelum tidur selalu aku ingat motivasi Dr. Fadzilah Kamsah.. "Muhasabah diri, maafkan semua kesalahan orang lain pada kita" semoga hari esok bangun dengan lebih sihat dan ceria.. Rabbi Yassir wala tu'assir. Hingga jumpa lagi..wassalam.

Tuesday, January 5, 2010

Meremeh Temehkan Dosa.

Dipetik Dari colum Mahmudah , majalah Solusi


Barang siapa yang sangat menghormati Allah SWT, lalu bersegera melaksanakan semua perintahnya meskipun kecil, maka itu adalah tanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah. Sebaliknya, barang siapa yang meremehkan hak-hak Allah dan tidak menghormatinya sama sekali, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT.

Imam Ahmad dan Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dari Sayyidina Salman Al-Farisi ia berkata, “Seorang lelaki masuk syurga karena seekor lalat, dan seorang lelaki masuk neraka juga karena seekor lalat.” Murid-muridnya bertanya, “Bagaimana itu terjadi?” Ia lalu bercerita, “Dua orang lelaki berjalan melalui sebuah kaum yang penyembah berhala. Mereka tidak membiarkan sesiapa berlalu dari tempat itu sebelum mempersembahkan korban untuk berhala mereka.

Kaum itu berkata kepada salah seorang dari keduanya, “Persembahkanlah sesuatu untuk berhala.” Ia menjawab, “Aku tidak memiliki apa-apa.” Mereka berkata, “Persembahkanlah walau seekor lalat.” Ia lalu mengorbankan seekor lalat kepada berhala dan mereka pun melepaskannya. Salman berkata, “Orang ini masuk Neraka.” Mereka berkata kepada lelaki yang lain, “Persembahkanlah walau seekor lalat.” Ia menjawab, “Aku tidak akan mempersembahkan apa-apa selain kepada Allah SWT.” Mereka lalu memenggal kepalanya. Salman berkata, “Orang ini masuk syurga.”

Selain itu Imam Al-Sya’rani bercerita: Seseorang bermimpi bertemu Imam Ghazali setelah beliau wafat. Orang itu bertanya, “Bagaimana Allah memperlakukan terhadap dirimu?” Dia menjawab, “Allah mengampunkan aku karena suatu hari aku membiarkan seekor lalat minum dari tinta yang sedang aku gunakan untuk menulis.”

Kisah yang dipaparkan ini mengajar kita sesuatu yang sangat penting, iaitu walaupun perbuatan kecil yang dilakukan seseorang namun kadang-kadang memberikan impak yang sangat besar. Seekor lalat dapat menentukan nasib seseorang di akhirat: Apakah ia akan masuk syurga atau neraka.

Perintah Kecil
Segala sesuatu yang Rasulullah SAW perintahkan, sekecil apa pun perbuatan itu, mengandungi hikmah tertentu bagi diri dan masyarakat kita. Oleh sebab itu, seorang pencinta kebaikan tidak pernah melihat kecil perbuatan baik yang dilakukannya. Sebaliknya, perbuatan itu dilihat sebagai peluang besar untuk meninggikan darajat di dalam syurga dan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kau meremehkan perbuatan baik (ma’ruf) sekecil mana pun, walau hanya tersenyum ketika berjumpa dengan saudaramu.” (HR Al-Bukhari).

Setiap tokoh besar dalam Islam tidak pernah melihat kecilnya sebuah perbuatan baik, akan tetapi menyaksikan kebesaran Allah yang mencintai kebaikan tersebut. Sehingga semangatnya dalam kebaikan tidak lebih kecil daripada ketamakan seorang pencinta harta yang tak pernah ragu mengambil wang sekecil walaupun yang ditemuinya di tengah jalan. Ia tidak melihat kecilnya nilai wang itu, akan tetapi ia selalu membayangkan peningkatan kekayaannya karena wang tersebut.

Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata, “Barang siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya.” (HR Ibn Al-Mubarak pada kitab Al-Zuhd). Ertinya, barang siapa yang sangat menghormati Allah SWT, lalu bersegera melaksanakan semua perintahnya meskipun kecil, maka itu pertanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah. Sebaliknya, barang siapa yang meremehkan hak-hak Allah dan tidak menghormatinya sama sekali, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT.

Dua rakaat solat sunnah yang sangat ringan dan tidak mengambil banyak masa, namun impak positifnya sangat besar di akhirat kelak. Imam Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd meriwayatkan dari Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang melalui di sebuah kubur yang baru dikebumikan jenazah. Baginda bersabda, “Dua rakaat singkat yang kalian anggap remeh namun boleh menambahkan pahala orang ini kerana lebih dia sukai daripada seisi dunia.”
Menyedari hal ini, ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash sewaktu melewati sebuah perkuburan, beliau segera melakukan solat dua rakaat. Seseorang bertanya kepadanya, “Ini sesuatu yang belum pernah anda lakukan sebelumnya.” Dia berkata, “Aku membayangkan ahli kubur dan amal perbuatan yang tidak akan dapat mereka lakukan lagi. Maka aku ingin lebih mendekatkan diriku kepada Allah dengan dua rakaat tadi.”

Mengeluarkan sampah yang terletak di lantai masjid sangat ringan, namun bernilai tinggi di sisi Allah. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Buraidah Al-Aslami bahawa Rasulullah SAW melihat sebuah kubur yang baru ditimbus. Lalu baginda bertanya, “Kubur siapa ini?” Abu Bakar menjawab, “Ini kubur Ummi Mihjan, seorang wanita yang sangat suka memungut serpihan sampah di masjid.” Nabi bersabda, “Mengapa kalian tidak memberitahuku (tentang kematiannya)?” Abu Bakar menjawab, “Waktu itu anda sedang tidur. Kami tidak ingin mengganggu anda.” Nabi bersabda, “Jangan lakukan seperti itu lagi. Sesungguhnya solatku bagi jenazah akan menjadi cahaya di dalam kuburnya.” Baginda terus mengatur barisan sahabatnya dan melakukan solat ghaib untuk wanita itu.

Membuang sampah di masjid ini sangat diambil berat oleh ahli hadis terutama Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari (w.256 H). Pada sebuah majlis di sebuah masjid, Imam Al-Bukhari melihat seseorang mengasah penselnya. Potongan kecil pensel yang terjatuh di atas lantai itu dibiarkan begitu saja. Imam Ahli hadis ini hanya diam dan tidak melakukan apa-apa. Sebenarnya, beliau boleh menegur orang tersebut atau memerintahkan pegawai masjid untuk membersihkan lantai itu. Namun ahli hadis ini memilih untuk diam sebab beliau ingin mendapat ganjaran sunah untuk mengeluarkan kotoran dari masjid. Setelah semua orang pergi meninggalkan masjid, Imam Al-Bukhari segera mengambil potongan pensel itu dengan tangannya lalu membuangnya keluar.

Begitu juga mendoakan orang yang bersin sangat ringan, namun besar nilainya di sisi Allah terutama ketika sunnah ini telah ditinggalkan oleh kebanyakan orang. Imam Abu Daud Sulaiman bin Asy’ats Al-Sujistani (w.275 H), penulis kitab “Sunan”, suatu hari berada di pinggir sebuah sungai. Tiba-tiba beliau mendengar seseorang dari seberang sungai itu bersin. Dia segera mendapatkan sebuah sampan untuk menyeberangi sungai itu bagi menemui orang tersebut. Dia berkata, “Apa yang kamu ucapkan ketika bersin?” Orang itu menjawab, “Aku ucapkan: Alhamdulillah.” Imam Abu Daud segera berkata, “Yarhamkallah (semoga Allah merahmatimu).” Setelah itu dia kembali ke tempatnya semula.

Membantu orang lain yang memerlukan walau dengan kata-kata dan nasihat yang baik akan ditulis sebagai sedekah yang sangat berharga. Imam Jalaluddin Al-Mahalli, seorang ahli fiqah Mazhab Al-Syafii yang terkenal di Mesir, pernah berkata, “Tidak ada seorang ulama pun yang setelah meninggal dunia lalu dilihat dalam mimpi memberitahu bahawa Allah mengampuninya karena ilmu yang ia miliki. (Kalaupun ada), mungkin sangat sedikit saja. Tetapi kebanyakan mereka berkata, ‘Allah mengampuni dosaku karena membantu hajat seseorang.’ Oleh sebab itu, aku berharap Allah mengampuniku dengan sebab hal ini.”

Bahkan memberi makan binatang yang sedang kelaparan dan kehausan sekalipun sangat bernilai di sisi Allah. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang menceritakan bahawa Allah pernah mengampuni dosa seorang pelacur karena ia memberi minum seekor anjing yang kehausan.

Sebenarnya, sunnah besar yang kita mimpikan dapat terwujud di negeri kita hanya apabila kita dapat membiasakan diri melakukan sunnah kecil terlebih dahulu. Apabila sunnah kecil itu telah menjadi sebahagian daripada hidup kita, sunnah besar akan menyusul dengan segera menjadi sebahagian daripada masyarakat kita.

Larangan Kecil
Walau bagaimanapun sebalik daripada sikap di atas, kita sebenarnya tidak boleh meremehkan larangan Allah meski sekecil apa pun. Sebab dosa ibarat racun berbahaya yang dapat membinasakan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Seseorang yang berakal dan mencintai hidupnya tidak akan mencuba-cuba untuk meminum racun meski hanya setitik sebab kesannya boleh jadi sangat besar.

Imam Al-Nasai dan Ibn Hibban meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Seseorang itu kadang-kadang tidak mendapatkan rezeki akibat dosa yang dilakukan.” Imam Al-Thabarani meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dia berkata, “Saya yakin bahawa seseorang dapat melupakan ilmu yang telah dipelajarinya akibat dosa yang dilakukannya.”
Rasulullah SAW memberitahukan bahawa dosa kecil yang dilakukan terus menerus dapat membawa ke neraka. Ibn Al-Mubarak meriwayatkan dari Ibn Mas’ud ia berkata, “Jauhilah dosa-dosa yang dianggap ringan, sebab dosa-dosa itu akan menebal dan seterusnya membinasakan pelakunya.

Oleh sebab itu jangan remehkan satu kalimat yang kita ucapkan sebab kalimat tersebut kadang membawa kita kepada kebinasaan. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sering kali sebuah kata yang diucapkan seseorang dapat membuatnya melayang-layang di Neraka tujuh puluh tahun.” Berdasarkan pengalaman hidup kita, terdapat kes menunjukkan betapa banyak kerenggangan hubungan seseorang dengan temannya, anaknya, isterinya bahkan orang tuanya akibat satu kalimat yang terlepas diucapkan.

Seorang bapak atau ibu kadang mencintai salah satu anaknya melebihi yang lain. Mereka menganggap ringan perlakuan tersebut padahal agama kita menilainya sebagai sebuah kezaliman. Anas bin Malik bercerita: Suatu hari ketika seorang lelaki duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba anak lelakinya datang. Orang itu segera mengambil anak itu, lalu menciumnya dan mendudukannya di pangkuan. Tidak lama kemudian, datang anak perempuannya. Orang itu segera mengambilnya lalu mendudukkannya di samping tempat duduknya. Melihat hal itu, Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak adil kepada anakmu ini.” (HR Al-Baihaqi)

Sebahagian besar masyarakat kita, termasuk orang yang bekerja sebagai guru agama, sering kali meringankan bentuk pergaulannya dengan kaum bukan sejenis. Sehingga sering terjadi khalwat yang diharamkan dengan alasan memberi kaunseling agama, meminta fatwa, atau belajar mengaji. Rasulullah SAW selalu memperingatkan bahawa berdua-duaan dengan kaum bukan sejenis merupakan mainan syaitan untuk merosakkan keimanan seseorang. Larangan ini berlaku umum untuk semua orang; tidak peduli usia atau ilmu seseorang. Barang siapa merasa bahawa mereka tidak diliputi oleh larangan ini dengan alasan apa pun, hal itu hanya menunjukkan kejahilannya terhadap syariat agama Islam.

Sayidina Ubadah bin Shamit, seorang sahabat Nabi SAW yang tinggi ilmunya berkata tentang dirinya, “Tidakkah kamu melihat bahawa aku selalu berjalan sambil dipapah, dan hanya memakan makanan yang telah dilembutkan oleh kawanku – maksudnya: kemaluannya telah mati sejak lama. Namun aku tetap tidak suka berkhalwat dengan seorang perempuan yang tidak halal bagiku, meski dibayar dengan seisi dunia. Sebab aku khawatir suatu saat syaitan datang lalu menggerakkannya kembali.” Inilah sikap seorang mukmin sejati yang memahami agamanya dengan mendalam.

Akhir kata, dosa sekecil sebanyak mana pun adalah pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia. Terserahlah kepada kita apakah akan membiarkan pintu itu terbuka selalu atau segera menutupnya rapat-rapat. Ingatlah, seekor lalat dapat memasukkan seseorang ke dalam neraka. Wallahu a’lam.

sumber :http://zahazan.net

Monday, January 4, 2010

Kembali ke sekolah 2010

Assalamualaikum dan selamat pagi anak2 umi, hari ni semua kena bangun awal, mandi, gosok gigi, pakai baju,solat subuh, sarapan, salam umi baba dan terus ke sekolah dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.
Bermulanya jadual baru untuk tahun 2010. Selamat menempuh alam persekolahan yang baru dengan semangat yang baru. Syatrah naik darjah satu, Akmal darjah 3, Muadz darjah 4, Husna 4 tahun playschool tapi pagi tadi nangis2 tak mau pergi sekolah pulak. Baju2, beg, alat2 tulis semua dah disediakan.. hmm umi pun tak faham angin anak umi sorang ni, kejap nak sekolah kejap tak nak..
Hari ni daftarkan Syatrah darjah satu, cool je anak umi yang ni, tapi pagi2 tadi lepas mandi dah siap2 pakai baju dia cakap kat umi, "Umi perut kita macam sakitlah" heheh..kecut tu nak pergi sekolah, perasaan bercampur2, maklumlah nak jumpa kawan2 baru, cikgu2 baru, suasana baru, alhamdulillah ada abang Akmal dan Muadz yang tolong tengok2an.
Syatrah masuk kelas 1 usaha, cikgu kelas nama Cikgu Salbiah, nampak dah berpengalaman cikgu tu. Alhamdulillah. Satu kelas 25 orang. Perempuan 12 lelaki 13. Kebanyakkannya dari Pra sekolah SK Sg. Lang hanya Syatrah je dari Tadika Islam Bistari, jadi kawan sekolah lama tak ada, ada sorang tapi lain kelas pulak. Tak pe kejap lagi ramailah kawan tu. Darjah satu ada 3 kelas sahaja. Sempatlah umi ambik gambar waktu cikgu sedang handle kelas di awal2 tu.
Selamat menghadapi sessi persekolahan yang baru buat semua pelajar sekolah dan tidak lupa buat guru2 termasuklah diri umi ni. :)
satu tanggungjawab baru telah bermula.

Wednesday, December 30, 2009

Prof Dr Wahbah Al-Zuhayli : Mufassir dan Ahli Fiqh Terkenal Abad ini

Wahbah al-Zuhayli merupakan seorang tokoh ulamak abad ke-20 yang terkenal dari Syria. Namanya sebaris dengan tokoh-tokoh tafsir dan fuqaha yang telah berjasa dalam dunia keilmuan Islam abad ke-20 seperti Tahir Ashur yang mengarang tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Said Hawwa dalam Asas fi al-Tafsir, Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran. Sementara dari segi fuqaha, namanya sebaris dengan Muhammad Abu Zahrah, Mahmud Shaltut, Ali Muhammad al-Khafif, Abdul Ghani Abdul Khaliq dan Muhammad Salam Madkur.

Wahbah al-Zuhayli dilahirkan di sebuah desa Dir Atiyyah, daerah Qalmun, Damsyiq, Syria pada tahun 6 Mac 1932/1351. Bapanya Haji Mustafa al-Zuhayli merupakan seorang yang terkenal dengan kesolehan dan ketakwaan. Beliau bekerja sebagai petani dan peniaga dan sentiasa memberi semangat kepada anak-anaknya untuk menuntut ilmu. Bapanya seorang hafiz yang sentiasa membaca al-Quran setiap malam dari jam dua pagi sehingga terbit fajar. Ibunya bernama Hajah Fatimah bin Mustafa Sa’adah, seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama. Beliau meninggal dunia pada 13 Mac 1984.

Beliau mendapat didikan awal peringkat rendah dan kuttab (tadika) di desanya. Pada tahun 1946, beliau memasuki peringkat menengah di Kolej Syariah di Damsyiq selama enam tahun sehingga tahun 1952. Wahbah al-Zuhayli telah berjaya mendapat pangkat cemerlang dalam peringkat menengah tersebut sebelum berhijrah ke bumi Mesir. Di Mesir, beliau belajar dengan memasuki beberapa kuliah dalam beberapa universiti di Kaherah dalam waktu yang sama iaitu kuliah Syariah dan kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar dan kuliah Undang-Undang di Universiti Ain Syam. Ketika itu, beliau memperolehi ijazah seperti berikut :i. Ijazah B.A dalam Kuliah Syariah Universiti al-Azhar pada tahun 1956. Beliau mendapat tempat pertama dari kalangan keseluruhan pelajar.ii. Ijazah Takhasus Pendidikan dari Kuliah Bahasa Arab Universiti al-Azhar pada tahun 1957iii. Ijazah B.A Dari Kuliah Undang-Undang dari Universiti Ain Syam pada tahun 1957.

Dalam masa lima tahun beliau telah memperolehi tiga ijazah dan kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Kaherah selama dua tahun dan tamat pada tahun 1957. Tajuk tesis peringkat M.A ini ialah al-Zira’i fi al-Siyasah al-Shar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami. Beliau meneruskan pelajaran ke peringkat kedoktoran di universiti yang sama dengan tajuk tesis Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami – Kajian Perbandingan di bawah penyeliaan Dr. Muhammad Salam Madkur. Pada tahun 1963, beliau telah berjaya memperolehi Ph.D dengan pangkat cemerlang dari lujnah munaqasah terdiri daripada Muhammad Abu Zahrah dan Dr. Hafiz Ghanim yang merupakan Menteri Pendidikan Tinggi.

Dari sini jelas kepada kita, kegigihan Wahbah al-Zuhayli di pelajaran dalam setiap peringkat dan sentiasa mengasingkan diri untuk mengkaji dan membaca buku-buku sejak di kolej Syariah, Damsyiq lagi. Beliau juga mengabungkan antara pengajian Syariah dan Undang-Undang yang membolehkannya dapat memahami realiti semasa dengan mudah. Di samping itu, pengajian undang-undang memudahkannya meningkatkan bakat penulisannya yang sudah terserlah itu.

Antara guru-gurunya ialah Muhammad Hashim al-Khatib al-Syafie, (m. 1958) seorang khatib di Masjid Umawi. Beliau belajar darinya fiqh al-Syafie; mempelajari ilmu fiqh dari Abdul Razaq al-Hamasi (m. 1969M); ilmu Hadith dari Mahmud Yassin,(m.1948M); ilmu faraid dan wakaf dari Judat al-Mardini (m. 1957M), Hassan al-Shati (m. 1962M), ilmu tafsir dari Hassan Habnakah al-Midani (m. 1978M); ilmu bahasa Arab dari Muhammad Saleh Farfur (m. 1986M); ilmu usul fiqh dan Mustalah Hadith dari Muhammad Lutfi al-Fayumi (m. 1990M); ilmu akidah dan kalam dari Mahmud al-Rankusi

Sementara ulamak yang beliau belajar di Mesir adalah seperti Muhammad Abu Zuhrah, (m. 1395H), Mahmud Shaltut (m. 1963M) Abdul Rahman Taj, Isa Manun (1376H), Ali Muhammad Khafif (m. 1978M), Jad al-Rabb Ramadhan (m.1994M), Abdul Ghani Abdul Khaliq (m.1983M) dan Muhammad Hafiz Ghanim. Di samping itu, beliau amat terkesan dengan buku-buku tulisan Abdul Rahman Azam seperti al-Risalah al-Khalidah dan buku karangan Abu Hassan al-Nadwi berjudul Madha Khasira al-‘alam binkhitat al-Muslimin.

Tugas pertama yang disandang selepas memperolehi Ph.D ialah sebagai pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Damsyk pada tahun 1963 dan menjadi professor Madya pada tahun 1969 dan Professor pada tahun 1975. Beliau juga pernah menjadi pensyarah pelawat di Libya, 1972-1974, Universiti Khartum dan Universiti Omdurman di Sudan pada tahun 2000.

Beliau juga menjadi pensyarah pelawat di Universiti Emeriat Arab Bersatu al-Ain dari tahun 1984-1989 selama lima tahun dan menjadi penceramah di Qatar dan Kuwait semasa bulan Ramadhan pada tahun 1989-1990. Di samping itu, beliau juga turut memberi khutbah Jumaat sejak tahun 1950 terutama di Masjid Uthman di Damsyiq dan Masjid al-Iman di Dir Atiyyah, menyampaikan ceramah di masjid, radio dan televisyen serta di seminar-seminar dalam segala bidang keilmuan Islam.Wahbah al-Zuhayli di mata rakan-rakanya.

Said Ramadhan al-Buty mengenalinya sejak tahun 1954 di Universiti al-Aِzhar. Pada ketika itu, beliau mengenali Wahbah melalui dua perkara sahaja iaitu melalui pemakaian serban putih yang mana pada masa itu ia agak janggal di Mesir. Keduanya ialah cara berjalan yang cergas, tegap dan cepat dalam setiap waktu dan suasana.

Perhubungn bertambah akrab apabila mereka mula bertugas di Universiti Damsyiq pada tahun 1965. Hubungan bertambah akrab disebabkan dua perkara iaitu Said Ra,adhn al-Buty merupakan antara orang yang pertama membaca risalah Ph.D Wahbah al-Zuhayli yang diperolehi dari Universiti Kaherah. Keduanya beliau mendapati pada diri Wahbah al-Zuhayli akhlak yang mulia sama ada dari segi ibadat dan pandangannya yang sederhana dan tidak menyalahi pendapat jumhur ulamak yang masyhur.

Beliau juga terkenal seorang yang ikhlas dan tidak mengharapkan habuan dunia. Ramadhan al-Buti mengakui kelebihan Wahbah al-Zuhayli sebagai seorang yang gigih mengarang terutama dalam menyiapkan Tafsir al-Munir yang melebihi 32 juzuk sebanyak 16 jilid dalam masa lima tahun semasa bertugas di Emiriat Arab Bersatu(UAE).

Menurut adiknya, Muhammad al-Zuhayli, beliau seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi dari segi waktu dan peraturan yang menyebabkan beliau dapat mengarang buku-buku dengan banyak terutama mengarang pada waktu subuh yang amat diberkati Allah. Beliau kurang menyenangi apabila orang melanggar disiplin, temujanji dan melambatkan tugas.

Sejak kecil lagi, Wahbah al-Zuhayli dipanggil oleh bapa mereka sebagai Syeikh al-Islam. Ternyata apa yang difirasatkan oleh ayahnya kini menjadi satu kenyataan apabila beliau menerbitkan al-Tafsir al-Munir, Fiqh al-Islami dan lain-lain buku dalam pasaran sekarang dan menjadi seorang ulamak terkenal abad ini.

Penulis teringat semasa pertemuan dengan Wahbah al-Zuhaili pada 22 November 2006, yang mana rombongan kami lewat tiba di rumahnya. Lalu beliau menelifon dan kurang menyenangi kelewatan rombongan tersebut. Ini menunjukkan ketegasan beliau dalam menepati janji dan masa.

Buku-Buku Karangan Wahbah al-Zuhayli
Wahbah al-Zuhayli menulis buku, kertas kerja dan artikel dalam pelbagai ilmu Islam. Buku-bukunya melebihi 133 buah buku dan jika dicampur dengan risalah-risalah kecil melebihi lebih 500 tajuk. Satu usaha yang jarang dapat dilakukan oleh ulamak kini seolah-olah ia merupakan al-Suyuti kedua (al-Sayuti al-Thani) pada zaman ini, mengambil sempena seorang Imam Shafi’iyyah iaitu Imam al-Sayuti.

Antara buku-bukunya seperti berikut :
1. Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami - Dirasat Muqaranah (Kesan Peperangan dalam Fiqh Islam-Kajian Perbandingan), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1963.
2. Al-Wasit fi Usul al-Fiqh, (Ringkasan Usul fiqh), Universiti Damsyiq, 1966.
3. Al-Fiqh al-Islami fi Uslub al-Jadid, (Fiqh Islam dalam Pendekatan Terbaru), Maktabah al-Hadithah, Damsyiq, 1967.
4. Nazariat al-Darurat al-Syar’iyyah (Teori Darurat dalam Syariat), Maktabah al-Farabi, Damsiq, 1969.
5. Nazariat al-Daman, (Teori Jaminan ), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1970.
6. Al-Usul al-Ammah li Wahdah al-Din al-Haq (Asas-Asas Penting dalam Kesatuan Agama yang Benar), Maktabah al-Abassiyah, Damsyiq, 1972.
7. Al-Alaqat al-Dawliah fi al-Islam, (Hubungan Antarabangsa Dalam Islam), Muassasah al-Riisalah, Beirut, 1981
8. Al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh, (Fiqh Islam dan dalil-dalilnya), (8 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1984.
9. Usul al-Fiqh al-Islami (Usul fiqh) (dua Jilid), Dar al-Fikr al-Fikr, Damsyiq, 1986.
10. Juhud Taqnin al-Fiqh al-Islami, (Kegigihan Merangka Fiqh Islam), Muassasah al-Risalah, Beirut, 1987.
11. Fiqh al-Mawaris fi al-Shari’at al-Islamiah, (Hukum Pesaka dalam Syariat Islam) Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987
12. Al-Wasaya wa al-Waqf fi al-Fiqh al-Islami, (Wasiat dan Wakaf dalam Syariat Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987
13. Al-Islam Din al-Jihad La al-Udwan, (Agama Islam adalah Agama Jihad bukan Permusuhan), Persatuan Dakwah Islam Antarabangsa, Tripoli, Libya, 1990
14. al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’at wa al-Manhaj (Tafsir Munir dalam Akidah, Syariat dan Manhaj), (16 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1991.
15. al-Qisah al-Qur’aniyyah Hidayah wa Bayan, (Kisah-Kisah Dalam al-Quran Petunjuk dan Penerangan), Dar Khair, Damsyiq, 1992.
16. Al-Qur’an al-Karim al-bunyatuh al-Tasyri’iyyah aw Khasa’isuh al-Hadariah, ( al-Quran Asas-Asas Perundangan dan Keistimewaan Tamadun), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1993.
17. al-Rukhsah al-Syari’at – Ahkamuha wa Dawabituha, (Kelonggaran Syariat- Hukum dan Prinsip), Dar al-Khair, Damsyiq, 1994.
18. Khasa’is al-Kubra li Huquq al-Insan fi al-Islam, ( Asas-Asas Penting bagi Hak-Hak Manusia dalam Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1995.
19. Al-Ulum al-Syari’at Bayn al-Wahdah wa al-Istiqlal ( Ulum Syariah Antara Kesatuan dan Pembebasan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
20. Al-Asas wa al-Masadir al-Ijtihad al-Musytarikat bayn al-Sunnah wa al-Syiah, (Asas dan Sumber Ijtihad bersama antara Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
21. Al-Islam wa Tahadiyyat al-‘Asr, (Islam dan Cabaran Semasa), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996
22. Muwajahat al-Ghazu al-Thaqafi al-Sahyuni wa al-Ajnabi, (Serangan Pemikiran Kebudayaan Zionis dan Asing), Dar al-Maktabi, Dmsyiq, 1996.
23. al-Taqlid fi al-Madhahib al-Islamiah inda al-Sunnah wa al-Syiah, (Taqlid dalam Mazhab Islam menurut ahli Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996
24. Al-Ijtihad al-Fiqhi al-Hadith, (Ijtihad Fiqh Baru), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.
25. Al-Uruf wa al-Adat, (Uruf dan Adat), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.
26. Bay al-Asham, (Penjualan Saham), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.
27. Al-Sunnah al-Nabawiyyah ( Sunnah Nabi), Dar al-Maktabi Damsyiq, 1997.
28. Idarat al-Waqaf al-Khairi, (Pengurusan wakaf Kebajikan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998.
29. al-Mujadid Jamaluddin al-Afghani, (Mujadid Jamaluddin al-Afghani), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998
30. Taghyir al-Ijtihad, (Perubahan Ijtihad), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
31. Tatbiq al-Syari’at al-Islamiah (Pelaksanaan Syariat Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
32. Al-Zira’i fi al-Siyasah al-Syar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami, (Zira’i dalam Siyasah Syar’iyyah dan Fiqh Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1999.
33. Tajdid al-Fiqh al-Islami, (Pembaharuan Fiqh Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000.
34. Al-Thaqafah wa al-Fikr, (Keilmuan dan Pemikiran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
35. Manhaj al-Da’wah fi al-Sirah al-Nabawiyah, (Manhaj Dakwah dalam Sirah Nabi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
36. Al-Qayyim al-Insaniah fi al-Qur’an al-Karim, (Nilai Kemanusiaan dalam al-Quran al-Karim), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
37. Haq al-Hurriah fi al-‘Alam, (Hak-hak Kebebasan dalam Dunia kini), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000
38. Al-Insan fi al-Qur’an, (Kemanusiaan dalam al-Quran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
39. Al-Islam wa Usul al-Hadarah al-Insaniah, (Islam dan Asas Tamadun Kemanusiaan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
40. Usul al-Fiqh al-Hanafi, (Usul fiqh Mazhab Hanafi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.

Kuala Lumpur 23 Disember 2006(Sumber : Mohd Rumaizuddin Ghazali, Tokoh Islam Kontemporari, Tradisi Ilmu, Petaling Jaya, 2005)(http://www.rumai.com/)
--------------------

untuk simpanan blog copy dari TMAARH66 Jazakallah..

Friday, December 25, 2009

Muhasabah Diri

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Tahniah kepada semua yang berjaya


24/12/2009 hari yang penuh debaran bagi semua calon PMR 2009. Antara perhitungan berjaya atau gagal. Bagi yang berjaya dengan cemerlang 9A TAHNIAH diucapkan, itulah hasil usaha kalian selama 3 tahun di sekolah ini, berkat kepayahan,kesabaran, kesungguhan, usaha doa dan tawakal akhirnya puncak kejayaan di dunia ini telah berjaya kalian kuasai..itulah janji2 Allah "Bersama-sama kesusahan itu ada kesenangan" bak kata pepatah melayu "Berakit2 kehulu, berenang2 ketepian, bersakit2 dahulu bersenang2 kemudian"..



Tidak ada kejayaan yang diperolehi dengan mudah semuanya memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi. Syabas sekali lagi. Yang kurang berjaya janganlah berduka terlalu lama, hidup perlu diteruskan, jalan dihadapan masih luas dan jauh lagi utk ditempuhi, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia Allah saja yang tahu. Teruskan usaha, bulatkan tekad, tanamkan azam, semoga hari esok lebih baik dari semalam..InsyaAllah. Doa kami sentiasa mengiringi kalian wahai anak2 didik yang dikasihi.

Muhammad Naqiuddin Bin Rozaly ~antara calon PMR 9A TAHNIAH!
Alangkah berbahagianya kedua ibu bapamu..teruskan kecemerlangan!

Ain Najiha Mohd Zaid~PMR 8A 1B TAHNIAH!

Siti Aisyah Jainal~PMR 8A
wajah2 duka bercampur gembira..
Pengorbanan itu sepahit hempedu demi mencapai kejayaan semanis madu..

Saturday, December 19, 2009

Koleksi Cameron Highlands




mesin kisar daun teh

ini antara koleksi jalan2 ke CH baru ni, nanti sambung lagi, banyak lagi nak upload untuk simpanan blog tapi tak larat dah. :) , sekali upload boleh 5 je, lambat, ada tak cara lain yang lebih pantas boleh upload ke blog sekali banyak2?













Wednesday, December 16, 2009

Jalan-jalan ke Cameron Highland

Bersempena dengan cuti akhir tahun persekolahan 2009, pada 14 Dec yang lalu, saya sekeluarga telah bercuti ke Cameron Highland selama 4 hari 3 malam. Ini merupakan percutian kali kedua kami ke Tanah tinggi itu. Percutian kali pertama 2008 agak singkat dan tidak banyak tempat yang sempat kalmi lawati lagipun time tu banyak hujan. Untuk kali ini alhamdulillah, rasanya hampir semua tempat menarik dapat kami lawati dan selama di sana jadual aktiviti kami agak padat juga.

Di sana kami sekeluarga telah menginap di Rumah Peranginan Persekutuan(Apartmet 2 bilik). Alhamdulillah memang sangat2 selesa, cuma disini tidak dibenarkan memasak, rumahnya besar, luas,lengkap dengan perabut meja makan, tv, dapur lengkap dengan kabinet, peti ais ( tak guna pun), pemanas air, pemanas bilik,dll, cuma tuala mandi, sterika tidak disediakan, so kena bawa sendiri. Sewa satu malam ialah RM52 saja. Sangat2 rendah. Bersebelahan RPP ini ada Strawberry farm, tapi masa kami datang ni bukan musim strawberry jadi tak dapatlah memetik strawberry sendiri.

Bagi kakitangan awam anda bolehlah cuba menempah tapi percutian kena dirancang lebih awal lagi. Layari http://www.bph.gov.my/ untuk maklumat lanjut.

Berbalik pada percutian kami, antara tempat yang kami sekeluarga lawati ialah..Bee farm, Butterfly farm, Rose valley, Ladang teh BOH Sg. Palas, strawberry farm, Pasar Brinchang, makan2 di Tanah Rata, makan icecream home made, menikmati permandangan2 indah yang hijau dari atas puncak bukit. Subhanallah sungguh cantik sekali. Bukankah keindahan dan kehebatan alam itu menunjukkan betapa Agungnya Tuhan yang menciptakannya? Begitu pula betapa besar kekuasaan Tuhan yang mengatur dan memeliharanya.

Rose Valley

Sewaktu menulis entry ini saya sekeluarga masih lagi di CH, alhamdulillah dapat pula wifi di RP ni, jadi apa lagi tak lepaskan peluanglah menulis dan upload gambar2 sebagai kenangan.

bermacam2 jenis rama2 di Butterfly farms and garden

EE FENG GU honey bee farm

Dimana ada bunga, disitulah wujudnya rama-rama dan lebah. Pengunjung ke Cameron boleh juga melihat dengan dekat kehidupan rama-rama dan lebah.

Jagung mutiara 8 tongkol RM10.. manis dan sedap, kalau ke CH jangan lupa beli, memang manis.

Di pasar malam Brinchang boleh didapati dengan banyak dan murah. Pasar ni ada setiap hari. Dari sayur-sayuran segar, bunga2an, buah2an, teh sehinggalah ke barang2 cenderahati semuanya ada dijual di sini..sediakan RM$$ saja :).

Aktiviti hari ke 3 ialah ke ladang teh BOH Sg. Palas. Memang best di ladang teh BOH ni, untuk sampai ke sana kena melalui jalan berliku2 sejauh 2km menaiki kenderaan. Selain pemandangan yang cantik menghijau, angin yang bertiup sejuk, kami juga dapat melawat kilang teh dan melihat cara pemprosesan daun2 teh sehinggalah dimasukkan ke dalam karung2 guni yang besar. Tidak ketinggalan membeli teh BOH pelbagai perisa kalau tak salah ada 6 perisa BOH seri songket dan disitu juga diberikan sedikit penerangan bagaimana cara membancuh teh2 tertentu. Kalau dah sampai ke puncak tu, jangan lepaskan peluang untuk menikmati teh panas pelbagai perisa, maklumlah untuk sampai ke atas tu bukannya mudah mengambil masa mendaki sedikit.


untuk sampai ke puncak sana tu kena melalui denai kecil dan hati2, saya lebih suka memakai kasut sport tutup penuh, sewaktu mendaki tu lebih selesa, kerana kaki berada dalam keadaan tetap berbanding jika memakai selipar atau sandal.

Setakat ini sajalah kisah percutian saya sekeluarga. Sebenarnya banyak lagi gambar yang nak diupload tapi nak mengedit tu malasnya pulak..InsyaAllah nanti jika diberi kesempatan gambar2 tu akan saya upload ke dalam blog ni untuk simpanan dan tatapan anak cucu saya nanti :)
Esok InsyaAllah kami akan bertolak pulang seawal 9 pagi kerana ada beberapa tempat hendak singgah untuk mengagih2kan ole2 yang telah dibeli dan dikirim. Bila lagi akan datang ke sini, mungkin beberapa tahun akan datang pulak, sebab dah puas pergi banyak tempat kali ni.

Hingga jumpa lagi. wassalam.