KUALA LANGAT 29 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan RM43.4 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negeri ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan mengurus SABK di seluruh negara berjumlah RM120.7 juta dengan RM29.2 juta daripadanya diagihkan kepada Selangor.
"Peruntukan tersebut meliputi bantuan persekolahan, perkhidmatan kawalan keselamatan, kebersihan dan utiliti.
"Sebanyak 23 buah sekolah di negeri ini dengan seramai 15,586 pelajar akan mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut," katanya.
Beliau mengumumkan peruntukan tersebut ketika berucap pada perjumpaan dengan guru-guru dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri ini di Sekolah Menengah Agama (Tinggi) Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, daripada RM95 juta yang diperuntukkan kepada SAR di seluruh negara dalam Bajet 2011, sebanyak RM9.6 juta akan diagihkan kepada SAR di negeri ini.
''Bantuan tersebut akan ditumpukan kepada bantuan pembinaan dan pembaikan kecil," katanya.
Selain itu, beliau berkata, daripada RM4.9 juta peruntukan bantuan pengurusan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) SAR, sejumlah RM1.4 juta disalurkan kepada 188 sekolah di negeri ini bagi manfaat 90,620 pelajar.
Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut menyampaikan cek berjumlah RM3.22 juta kepada 23 SABK di negeri ini dengan masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM140,000.
Terdahulu, dalam lawatannya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jenjarum di sini, Muhyiddin menyampaikan cek berjumlah RM1.2 juta bagi membantu pembinaan bangunan tambahan sekolah tersebut.
Selain itu, SJKC Yoke Kuan, Sekinchan juga menerima cek RM1.5 juta bagi tujuan yang sama.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Gambar sekitar lawatan TPM ke SAMTTAR