Monday, January 25, 2010

Thursday, January 14, 2010

Hari-hari Persekolahan..

Sejak dah mula sekolah ni, masa nak menulis blog agak terhad dicampur dengan penat, letih, mengantuk, banyak homework. Dekat sekolah memang tak sempatlah nak pegang laptop, try jugak nak buka, tapi belum sempat nak buat apa2 baru on kan aje, loceng peralihan waktu mengajar dah berbunyi, nak dibiarkan aje lptop terbuka atas meja, bahaya pulak, maklumlah bilik guru tu tempat yang terbuka, sesiapa saja boleh keluar masuk. Nanti tunggu petang baru ada masa sikit.

Apa nak cerita pun tak tahulah, tak de idea. Sekarang dah masuk minggu ke dua sessi persekolahan. PnP berjalan seperti biasa. Pagi masuk 7.40 sampai 2.30ptg sessi persekolahan berakhir siap pelajar2 solat zohor baru dibenarkan keluar pagar sekolah,sekolah ni satu sessi je, tapi selalunya sampai rumah paling cepatpun pukul 3:15, paling lewat pukul 4.30-5.00 ptg.

Awal2 tahun ni banyak betul meeting itu ini sampaikan aku rasa nak demam, mungkin jugak perubahan jadual harian berbanding cuti akhir tahun lepas. Semua masa mengajar 22 masa seminggu, oklah berkurang sikit dari 26 masa tahun lepas. Alhamdulillah. Tapi tahun ni pulak nampaknya kena pegang 2 kelas peperiksaan PMR dan SPM. Mau tak ngeri aku.. !

Waktu menulis entry ni, badan memang kurang sihat, seram sejuk nak demam, lepas makan nasi petang tadi telan ponstan 2 biji, patutnya lebih selesa kalau dapat tidur, tapi otak ni asyik teringat RPT dan minit yang belum siap2 lagi.. tapi bila dah on laptop tau2 jelah, sasaran pertama mesti nak tengok facebook, kedua tengok blog, ketiga tengok email :)) maka kerja pun makin tak siap2 lah jawapnya.

nampaknya kena stop dululah sampai setakat ni, mata dah mula nak melekat ni sebab tadi dah telan ponstan kot.. Sebelum tidur selalu aku ingat motivasi Dr. Fadzilah Kamsah.. "Muhasabah diri, maafkan semua kesalahan orang lain pada kita" semoga hari esok bangun dengan lebih sihat dan ceria.. Rabbi Yassir wala tu'assir. Hingga jumpa lagi..wassalam.

Tuesday, January 5, 2010

Meremeh Temehkan Dosa.

Dipetik Dari colum Mahmudah , majalah Solusi


Barang siapa yang sangat menghormati Allah SWT, lalu bersegera melaksanakan semua perintahnya meskipun kecil, maka itu adalah tanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah. Sebaliknya, barang siapa yang meremehkan hak-hak Allah dan tidak menghormatinya sama sekali, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT.

Imam Ahmad dan Ibn Abi Syaibah meriwayatkan dari Sayyidina Salman Al-Farisi ia berkata, “Seorang lelaki masuk syurga karena seekor lalat, dan seorang lelaki masuk neraka juga karena seekor lalat.” Murid-muridnya bertanya, “Bagaimana itu terjadi?” Ia lalu bercerita, “Dua orang lelaki berjalan melalui sebuah kaum yang penyembah berhala. Mereka tidak membiarkan sesiapa berlalu dari tempat itu sebelum mempersembahkan korban untuk berhala mereka.

Kaum itu berkata kepada salah seorang dari keduanya, “Persembahkanlah sesuatu untuk berhala.” Ia menjawab, “Aku tidak memiliki apa-apa.” Mereka berkata, “Persembahkanlah walau seekor lalat.” Ia lalu mengorbankan seekor lalat kepada berhala dan mereka pun melepaskannya. Salman berkata, “Orang ini masuk Neraka.” Mereka berkata kepada lelaki yang lain, “Persembahkanlah walau seekor lalat.” Ia menjawab, “Aku tidak akan mempersembahkan apa-apa selain kepada Allah SWT.” Mereka lalu memenggal kepalanya. Salman berkata, “Orang ini masuk syurga.”

Selain itu Imam Al-Sya’rani bercerita: Seseorang bermimpi bertemu Imam Ghazali setelah beliau wafat. Orang itu bertanya, “Bagaimana Allah memperlakukan terhadap dirimu?” Dia menjawab, “Allah mengampunkan aku karena suatu hari aku membiarkan seekor lalat minum dari tinta yang sedang aku gunakan untuk menulis.”

Kisah yang dipaparkan ini mengajar kita sesuatu yang sangat penting, iaitu walaupun perbuatan kecil yang dilakukan seseorang namun kadang-kadang memberikan impak yang sangat besar. Seekor lalat dapat menentukan nasib seseorang di akhirat: Apakah ia akan masuk syurga atau neraka.

Perintah Kecil
Segala sesuatu yang Rasulullah SAW perintahkan, sekecil apa pun perbuatan itu, mengandungi hikmah tertentu bagi diri dan masyarakat kita. Oleh sebab itu, seorang pencinta kebaikan tidak pernah melihat kecil perbuatan baik yang dilakukannya. Sebaliknya, perbuatan itu dilihat sebagai peluang besar untuk meninggikan darajat di dalam syurga dan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kau meremehkan perbuatan baik (ma’ruf) sekecil mana pun, walau hanya tersenyum ketika berjumpa dengan saudaramu.” (HR Al-Bukhari).

Setiap tokoh besar dalam Islam tidak pernah melihat kecilnya sebuah perbuatan baik, akan tetapi menyaksikan kebesaran Allah yang mencintai kebaikan tersebut. Sehingga semangatnya dalam kebaikan tidak lebih kecil daripada ketamakan seorang pencinta harta yang tak pernah ragu mengambil wang sekecil walaupun yang ditemuinya di tengah jalan. Ia tidak melihat kecilnya nilai wang itu, akan tetapi ia selalu membayangkan peningkatan kekayaannya karena wang tersebut.

Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata, “Barang siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya.” (HR Ibn Al-Mubarak pada kitab Al-Zuhd). Ertinya, barang siapa yang sangat menghormati Allah SWT, lalu bersegera melaksanakan semua perintahnya meskipun kecil, maka itu pertanda bahawa dirinya sangat terhormat di sisi Allah. Sebaliknya, barang siapa yang meremehkan hak-hak Allah dan tidak menghormatinya sama sekali, itu pertanda bahawa ia sangat hina di sisi Allah SWT.

Dua rakaat solat sunnah yang sangat ringan dan tidak mengambil banyak masa, namun impak positifnya sangat besar di akhirat kelak. Imam Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd meriwayatkan dari Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang melalui di sebuah kubur yang baru dikebumikan jenazah. Baginda bersabda, “Dua rakaat singkat yang kalian anggap remeh namun boleh menambahkan pahala orang ini kerana lebih dia sukai daripada seisi dunia.”
Menyedari hal ini, ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash sewaktu melewati sebuah perkuburan, beliau segera melakukan solat dua rakaat. Seseorang bertanya kepadanya, “Ini sesuatu yang belum pernah anda lakukan sebelumnya.” Dia berkata, “Aku membayangkan ahli kubur dan amal perbuatan yang tidak akan dapat mereka lakukan lagi. Maka aku ingin lebih mendekatkan diriku kepada Allah dengan dua rakaat tadi.”

Mengeluarkan sampah yang terletak di lantai masjid sangat ringan, namun bernilai tinggi di sisi Allah. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Buraidah Al-Aslami bahawa Rasulullah SAW melihat sebuah kubur yang baru ditimbus. Lalu baginda bertanya, “Kubur siapa ini?” Abu Bakar menjawab, “Ini kubur Ummi Mihjan, seorang wanita yang sangat suka memungut serpihan sampah di masjid.” Nabi bersabda, “Mengapa kalian tidak memberitahuku (tentang kematiannya)?” Abu Bakar menjawab, “Waktu itu anda sedang tidur. Kami tidak ingin mengganggu anda.” Nabi bersabda, “Jangan lakukan seperti itu lagi. Sesungguhnya solatku bagi jenazah akan menjadi cahaya di dalam kuburnya.” Baginda terus mengatur barisan sahabatnya dan melakukan solat ghaib untuk wanita itu.

Membuang sampah di masjid ini sangat diambil berat oleh ahli hadis terutama Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari (w.256 H). Pada sebuah majlis di sebuah masjid, Imam Al-Bukhari melihat seseorang mengasah penselnya. Potongan kecil pensel yang terjatuh di atas lantai itu dibiarkan begitu saja. Imam Ahli hadis ini hanya diam dan tidak melakukan apa-apa. Sebenarnya, beliau boleh menegur orang tersebut atau memerintahkan pegawai masjid untuk membersihkan lantai itu. Namun ahli hadis ini memilih untuk diam sebab beliau ingin mendapat ganjaran sunah untuk mengeluarkan kotoran dari masjid. Setelah semua orang pergi meninggalkan masjid, Imam Al-Bukhari segera mengambil potongan pensel itu dengan tangannya lalu membuangnya keluar.

Begitu juga mendoakan orang yang bersin sangat ringan, namun besar nilainya di sisi Allah terutama ketika sunnah ini telah ditinggalkan oleh kebanyakan orang. Imam Abu Daud Sulaiman bin Asy’ats Al-Sujistani (w.275 H), penulis kitab “Sunan”, suatu hari berada di pinggir sebuah sungai. Tiba-tiba beliau mendengar seseorang dari seberang sungai itu bersin. Dia segera mendapatkan sebuah sampan untuk menyeberangi sungai itu bagi menemui orang tersebut. Dia berkata, “Apa yang kamu ucapkan ketika bersin?” Orang itu menjawab, “Aku ucapkan: Alhamdulillah.” Imam Abu Daud segera berkata, “Yarhamkallah (semoga Allah merahmatimu).” Setelah itu dia kembali ke tempatnya semula.

Membantu orang lain yang memerlukan walau dengan kata-kata dan nasihat yang baik akan ditulis sebagai sedekah yang sangat berharga. Imam Jalaluddin Al-Mahalli, seorang ahli fiqah Mazhab Al-Syafii yang terkenal di Mesir, pernah berkata, “Tidak ada seorang ulama pun yang setelah meninggal dunia lalu dilihat dalam mimpi memberitahu bahawa Allah mengampuninya karena ilmu yang ia miliki. (Kalaupun ada), mungkin sangat sedikit saja. Tetapi kebanyakan mereka berkata, ‘Allah mengampuni dosaku karena membantu hajat seseorang.’ Oleh sebab itu, aku berharap Allah mengampuniku dengan sebab hal ini.”

Bahkan memberi makan binatang yang sedang kelaparan dan kehausan sekalipun sangat bernilai di sisi Allah. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang menceritakan bahawa Allah pernah mengampuni dosa seorang pelacur karena ia memberi minum seekor anjing yang kehausan.

Sebenarnya, sunnah besar yang kita mimpikan dapat terwujud di negeri kita hanya apabila kita dapat membiasakan diri melakukan sunnah kecil terlebih dahulu. Apabila sunnah kecil itu telah menjadi sebahagian daripada hidup kita, sunnah besar akan menyusul dengan segera menjadi sebahagian daripada masyarakat kita.

Larangan Kecil
Walau bagaimanapun sebalik daripada sikap di atas, kita sebenarnya tidak boleh meremehkan larangan Allah meski sekecil apa pun. Sebab dosa ibarat racun berbahaya yang dapat membinasakan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Seseorang yang berakal dan mencintai hidupnya tidak akan mencuba-cuba untuk meminum racun meski hanya setitik sebab kesannya boleh jadi sangat besar.

Imam Al-Nasai dan Ibn Hibban meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Seseorang itu kadang-kadang tidak mendapatkan rezeki akibat dosa yang dilakukan.” Imam Al-Thabarani meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dia berkata, “Saya yakin bahawa seseorang dapat melupakan ilmu yang telah dipelajarinya akibat dosa yang dilakukannya.”
Rasulullah SAW memberitahukan bahawa dosa kecil yang dilakukan terus menerus dapat membawa ke neraka. Ibn Al-Mubarak meriwayatkan dari Ibn Mas’ud ia berkata, “Jauhilah dosa-dosa yang dianggap ringan, sebab dosa-dosa itu akan menebal dan seterusnya membinasakan pelakunya.

Oleh sebab itu jangan remehkan satu kalimat yang kita ucapkan sebab kalimat tersebut kadang membawa kita kepada kebinasaan. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sering kali sebuah kata yang diucapkan seseorang dapat membuatnya melayang-layang di Neraka tujuh puluh tahun.” Berdasarkan pengalaman hidup kita, terdapat kes menunjukkan betapa banyak kerenggangan hubungan seseorang dengan temannya, anaknya, isterinya bahkan orang tuanya akibat satu kalimat yang terlepas diucapkan.

Seorang bapak atau ibu kadang mencintai salah satu anaknya melebihi yang lain. Mereka menganggap ringan perlakuan tersebut padahal agama kita menilainya sebagai sebuah kezaliman. Anas bin Malik bercerita: Suatu hari ketika seorang lelaki duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba anak lelakinya datang. Orang itu segera mengambil anak itu, lalu menciumnya dan mendudukannya di pangkuan. Tidak lama kemudian, datang anak perempuannya. Orang itu segera mengambilnya lalu mendudukkannya di samping tempat duduknya. Melihat hal itu, Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak adil kepada anakmu ini.” (HR Al-Baihaqi)

Sebahagian besar masyarakat kita, termasuk orang yang bekerja sebagai guru agama, sering kali meringankan bentuk pergaulannya dengan kaum bukan sejenis. Sehingga sering terjadi khalwat yang diharamkan dengan alasan memberi kaunseling agama, meminta fatwa, atau belajar mengaji. Rasulullah SAW selalu memperingatkan bahawa berdua-duaan dengan kaum bukan sejenis merupakan mainan syaitan untuk merosakkan keimanan seseorang. Larangan ini berlaku umum untuk semua orang; tidak peduli usia atau ilmu seseorang. Barang siapa merasa bahawa mereka tidak diliputi oleh larangan ini dengan alasan apa pun, hal itu hanya menunjukkan kejahilannya terhadap syariat agama Islam.

Sayidina Ubadah bin Shamit, seorang sahabat Nabi SAW yang tinggi ilmunya berkata tentang dirinya, “Tidakkah kamu melihat bahawa aku selalu berjalan sambil dipapah, dan hanya memakan makanan yang telah dilembutkan oleh kawanku – maksudnya: kemaluannya telah mati sejak lama. Namun aku tetap tidak suka berkhalwat dengan seorang perempuan yang tidak halal bagiku, meski dibayar dengan seisi dunia. Sebab aku khawatir suatu saat syaitan datang lalu menggerakkannya kembali.” Inilah sikap seorang mukmin sejati yang memahami agamanya dengan mendalam.

Akhir kata, dosa sekecil sebanyak mana pun adalah pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia. Terserahlah kepada kita apakah akan membiarkan pintu itu terbuka selalu atau segera menutupnya rapat-rapat. Ingatlah, seekor lalat dapat memasukkan seseorang ke dalam neraka. Wallahu a’lam.

sumber :http://zahazan.net

Monday, January 4, 2010

Kembali ke sekolah 2010

Assalamualaikum dan selamat pagi anak2 umi, hari ni semua kena bangun awal, mandi, gosok gigi, pakai baju,solat subuh, sarapan, salam umi baba dan terus ke sekolah dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.
Bermulanya jadual baru untuk tahun 2010. Selamat menempuh alam persekolahan yang baru dengan semangat yang baru. Syatrah naik darjah satu, Akmal darjah 3, Muadz darjah 4, Husna 4 tahun playschool tapi pagi tadi nangis2 tak mau pergi sekolah pulak. Baju2, beg, alat2 tulis semua dah disediakan.. hmm umi pun tak faham angin anak umi sorang ni, kejap nak sekolah kejap tak nak..
Hari ni daftarkan Syatrah darjah satu, cool je anak umi yang ni, tapi pagi2 tadi lepas mandi dah siap2 pakai baju dia cakap kat umi, "Umi perut kita macam sakitlah" heheh..kecut tu nak pergi sekolah, perasaan bercampur2, maklumlah nak jumpa kawan2 baru, cikgu2 baru, suasana baru, alhamdulillah ada abang Akmal dan Muadz yang tolong tengok2an.
Syatrah masuk kelas 1 usaha, cikgu kelas nama Cikgu Salbiah, nampak dah berpengalaman cikgu tu. Alhamdulillah. Satu kelas 25 orang. Perempuan 12 lelaki 13. Kebanyakkannya dari Pra sekolah SK Sg. Lang hanya Syatrah je dari Tadika Islam Bistari, jadi kawan sekolah lama tak ada, ada sorang tapi lain kelas pulak. Tak pe kejap lagi ramailah kawan tu. Darjah satu ada 3 kelas sahaja. Sempatlah umi ambik gambar waktu cikgu sedang handle kelas di awal2 tu.
Selamat menghadapi sessi persekolahan yang baru buat semua pelajar sekolah dan tidak lupa buat guru2 termasuklah diri umi ni. :)
satu tanggungjawab baru telah bermula.