Monday, April 27, 2009

Cuepacs kesal Saravanan heboh doktor culas

KUALA LUMPUR: Cuepacs hari ini menyatakan rasa "kesal mendalam" terhadap cara Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, menangani kes dua orang doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang didapati "culas" bertugas.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Md Zin, berkata Saravanan sepatutnya lebih berhati-hati dan diplomasi daripada hanya menghebohkan perkara itu kepada media. "Memang sebagai seorang ahli politik, beliau meraih beberapa mata, tetapi siapa yang teraniaya?" katanya.

Beliau mengulas kejadian di unit kecemasan hospital itu semalam di mana Saravanan "mengesan" seorang doktor sedang membaca akhbar dan seorang lagi membuat kerja sendiri ketika ramai pesakit menunggu di luar.

Beliau berkata, walaupun Cuepacs tidak akan membiarkan kakitangan awam yang tidak menjalankan kerja dengan baik tetapi dalam kes ini adalah amat tidak adil bagi Saravanan menghebohkan kejadian itu yang mungkin hanya satu kes terpencil. Ahmad Shah berkata, sebagai tanda beradab Saravanan boleh membawa perkara itu kepada pengarah hospital dan Menteri Kesihatan daripada menghebohkannya kepada media dan seluruh dunia.

Ahmad Shah berkata, bukan saja doktor malah seluruh kakitangan awam "amat tersinggung" dengan apa yang dilakukan Saravanan. Ahmad Shah menjelaskan bahawa doktor, terutama mereka di unit kecemasan hospital di seluruh negara amat tertekan dan bekerja bagi tempoh yang lama melayani bilangan pesakit yang ramai.

"Purata doktor ini mengendali kira-kira 70-100 kes sehari dan majoriti menjalankan kerja dengan baik memberikan khidmat cemerlang walaupun menghadapi pelbagai kendalaan," katanya. Ahmad berkata, publisiti negatif itu bukan saja menjejas teruk semangat doktor tetapi juga semua kakitangan awam.

"Kami harap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengambil perhatian perkara ini dan menasihatkan menteri-menterinya supaya tidak bertindak melampaui batas," katanya. -

Bernama
-----------------------------------------------------------------------------
(hmm.. tugas doktor ni bukannya ringan2, tersilap sikit, terlewat seminit dua, boleh buat nyawa melayang, tapi doktor pun manusia juga kan, bukannya robot atau mesen yang kerja 24 jam. Doktor pun ada rasa penat, boring bosan dan macam2 lagi. kita manusia bukannya sempurna, silap2 yang mengata tu lebih teruk daripada doktor. :))

Siapapun kita, jawatan apapun yang kita sandang rasa tanggungjawab dalam memikul amanah yang di amanahkan kepada kita itu perlu ada. Kerana kita wajib ingat setiap amanah yang ditaklifkan akan di persoalkan kalau tidak didunia, diakhirat kelak sudah tentu.

Tapi itulah kan, selagi bernama manusia selagi tu kita tak lepas dari kesilapan. Muhasabahlah diri masing2, sejauh mana tanggungjawab itu telah kita laksanakan dengan sebaik mungkin. Astaghfirullah.., gaji kita makan, tanggungjawab kita abai. Perlu saling ingat mengingatkan antara satu sama lain. tapi kalau nak menegur tu biarlah kena cara dan gayanya. dan jangan pula memilih bulu. Berlaku adil pada semua. Ini tidak, yang tersalah sekali sekala tu yang diattack dan diserang beria2. yang selalu buat berulang2 kali tu didiamkan saja. apa macam??


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Bila bos nak tegur orang bawah, kenalah cara berhikmah. Jangan pakai hentam je, kena pulak bos tengah angin satu badan hari tu, marah kat sorang habis semua orang dihentamnya. profesionallah sikit. Barulah terjalin hubungan 2 hala yang mesra, ceria, orang bawahan pun rasa hormat pada bos. bukannya rasa takut, sampaikan berselisih pun kalau boleh tak mahu, apa lagi nak bertentang mata. senang kata menyampah dan meluatlah dengan bos. kalau nak cerita pasal orang lain memang tak habis2. Pasal diri sendiri???? tepuk dada tanyalah Iman.

muhasabah untuk diriku yang sering lupa dan lalai. Wallahu a'lam.

Sunday, April 26, 2009

Kedudukan Solawat Syifa'

Merujuk pada tajuk di atas ingin aku pastekan di sini menurut fatwa negeri perlis setelah dibahaskan secara terperinci. Inilah yang ku temukan di e-fatwa, semoga ianya dapat menjadi panduan dalam amalan kehidupan seharian InsyaAllah.

Keterangan :Asas Pertimbangan Pengeluaran FatwaJawatankuasa Syariah Negeri Perlis di dalam membuat keputusan berkaitan Hukum Selawat Syifa’ telah menghalusi kertas kerja dari Dr. Azwira bin Abdul Aziz (Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia/ Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis) mengenai Menilai Salawat Syifa’seperti berikut:

Menilai Salawat Syifa’:Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita sememangnya sangat dituntut supaya bersalawat ke atas baginda, sebagaimana firman Allah SWT:Maksudnya: "
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya" .

Tidak diragukan lagi bahawa lafaz salawat yang terbaik ialah apa yang dikenali sebagai Salawat Ibrahimiyyah yang diajar oleh Nabi s.a.w kepada para Sahabat dan yang diriwayatkan melalui jalan sanad yang sahih oleh perawi-perawi thiqah serta dijadikan sebagai lafaz salawat dalam solat (sebelum salam). Dalam konteks ini, Imam As-Sayuti berkata:

“Aku telah membaca keterangan Imam As-Subki dalam kitab At-Tabaqat yang diterimanya daripada ayahnya, bahawa sebaik-baik salawat yang dibaca ketika bersalawat ialah salawat yang dibaca di dalam solat ketika tasyahhud, iaitu yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Maka sesiapa yang membacanya dia dilihat sebagai telah bersalawat dengan sempurna dan sesiapa yang membaca selainnya, maka mereka tetap berada dalam keraguan, kerana bentuk-bentuk salawat yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu adalah yang sering diajar oleh Nabi s.a.w. sendiri dan yang sering disuruh supaya kita membacanya” .

Keraguan Salawat Syifa’
Antara lafaz salawat yang meragukan ialah yang dikenali sebagai Salawat Syifa’. Salawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semakin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardu atau sebagai pembuka ucapan secara tekal. Lafaz salawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

اللهمَّ صلِّ على سيدنا محمدٍ طبِّ القلوبِ ودوائِها وعافيةِ الأبدان وشفائها ونورِ الأبصار وضيائها وعلى آله وصحبه وبارك وسلم

Maksudnya: “Ya Allah! salawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan Sahabat Baginda serta berkati dan sejahterakanlah” ..

Mengikut kaedah icrab (parsing) bahasa Arab, perkataan tibb yang bermaksud ‘perawat’ itu berada pada kedudukan sifat (adjective noun) atau badal (gantinama/noun in apposition) bagi perkataan Muhammad (ism calam/proper name). Disebabkan kedudukan itu, maka berlaku persamaan antara kedua-dua perkataan tibb dan Muhammad dari segi kasrah (berbaris bawah).

Pada kebiasaannya penyifatan atau pembadalan ism calam dilakukan dengan menggunakan ism facil (kata pembuat/present participle) atau ism maf cul (kata kena buat/past participle), tetapi kaedah bahasa Arab membenarkan juga penggunaan ism masdar (katanama terbitan/root noun) sebagai sifat atau badal bagi menunjukkan makna mubalaghah atau bersangatan .

Justeru, meskipun perkataan tibb itu pada asalnya adalah ism masdar yang bermaksud ‘rawatan’, namun dalam konteks kedudukannya sebagai sifat atau badal, maka ia dilihat sebagai Sighah Mubalaghah (kata melampau) yang membawa konsekuensi maksud ‘penawar yang sangat mujarab’.

Manakala perkataan-perkataan dawa’, cafiah, syifa’, nur, dan diya’, semuanya berada pada kedudukan cataf (penyambung/join) bagi perkataan tibb yang berada pada kedudukan mactuf (yang disambung).

Kaedah bahasa Arab juga telah menetapkan bahawa sesuatu cataf itu mesti mengikut mactufnya dalam setiap keadaan, jika mactufnya berada pada kedudukan sifat, maka cataf itu juga berada pada kedudukan sifat dan jika mactufnya berada pada kedudukan badal, maka cataf itu juga berada pada kedudukan badal. Ini bermakna kesemua perkataan tersebut membawa pengertian sifat atau badal bagi Muhammad sebagaimana perkataan tibb itu juga.

Maka perkataan dawa’ itu membawa maksud ‘pengubat yang sangat berkesan’, perkataan cafiah bermaksud ‘penyihat yang sangat menyihat’, perkataan syifa’ difahami dengan maksud ‘penyembuh yang sangat menyembuh’, perkataan nur difahami dengan maksud ‘pemberi cahaya’ dan perkataan diya’ difahami dengan maksud ‘pemancar cahaya’.

Berdasarkan kedudukan dan kaedah bahasa ini, maka terjemahan bagi keseluruhan lafaz salawat itu adalah seperti berikut:

“Ya Allah! salawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati yang sangat mujarab, pengubatnya yang sangat berkesan, penyihat badan yang sangat menyihat, penyembuhnya yang sangat menyembuh, pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya juga ke atas ahli keluarga dan Sahabat Baginda serta berkati dan sejahterakanlah”.

Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan icrab ini seolah-olah telah menyifatkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Maha Perawat, Maha Pengubat, Maha Penyihat, Maha Penyembuh, Maha Pemberi cahaya dan Maha Pemancarnya. Persoalannya, apakah harus menyifatkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat sedemikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah S.W.T. yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat-sifat tersebut?

Prinsip ilmu Tauhid telah menetapkan bahawa Allah SWT itu Maha Esa dan wajib diEsakan pada Sifat-SifatNya sebagaimana Dia juga wajib diEsakan pada Rububiyyah dan UluhiyyahNya . Nama-Nama dan Sifat-Sifat yang khusus bagi Allah SWT tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu bermakna mensyirikkan (menyengutukan) sifat makhluk dengan sifat Al-Khaliq .

Allah S.W.T. berfirman
ليس كمثله شيء وهو السميع البصير

Maksudnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.

Allah S.W.T. juga berfirman:
وإذا مرضت فهو يشفين

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dialah (Allah S.W.T) yang menyembuhkan penyakitku”
Dalam sebuah hadith Baginda s.a.w. mengajar umatnya agar membaca doa berikut:

اللهم رب الناس مذهب البأس اشف أنت الشافي لا شافي إلا أنت ولا شفاء إلا شفاؤك شفاء لا يغادر سقما

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan sekelian manusia, Maha Penghilang segala penyakit, sembuhkanlah! Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan Engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan Engkau. (Sembuhkanlah)

Dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun” .
Ungkapan: “Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan Engkau”, jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah S.W.T. yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk.

Struktur ayat yang mengandungi nafy (penapian) dengan huruf nafy (La) dan diikuti oleh ithbat (penetapan) dengan huruf Istithna’ (Illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menafikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padaNya semata-mata.

Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ini menafikan sifat penyembuh bagi selain dari Allah S.W.T dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Salawat Syifa’ itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada Baginda s.a.w.

Justeru, lafaz Salawat Syifa’ itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid Al-Asma’ Wa As-Sifat.

Kekeliruan Dan Jawapan

1) Ada yang berpendapat masih ada jalan untuk lari daripada maksud penyamaan sifat itu dengan cara mentaqdirkan (mengandaikan) wujudnya perkataan solat antara perkataan Muhammad dan perkataan tibb. Mengikut andaian ini, maka lafaz salawat itu berubah menjadi seperti berikut:

اللهمَّ صلِّ على سيدنا محمدٍ صلاةَ طبِّ القلوبِ ودوائِها...إلى آخره

Dalam lafaz ini, perkataan solat itu berada pada kedudukan mafcul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (salawatkanlah), di samping ia juga berada pada kedudukan mudhaf (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz salawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:

“Ya Allah! salawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu salawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan yang boleh menjadi ubat baginya (hati)…sehingga akhir”.

Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Allah S.W.T, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat Nabi Muhammad s.a.w, tetapi salawat yang diucapkan itu.

Oleh kerana membaca salawat itu adalah sejenis amal salih, maka ia termasuk dalam jenis tawassul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syarac Dengan maksud ini, maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad s.a.w dengan sifat penyembuh.

Jawapan:

Pertama: Sayugia diingatkan bahawa sesuatu ungkapan yang mengelirukan itu hanya perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) bagi mengelakkan kekeliruan, sekiranya ia memang merupakan nas syarac yang sahih dari Al-Quran atau pun As-Sunnah. Adapun ungkapan yang bukan dari Al-Quran atau pun As-Sunnah (seperti lafaz Salawat Syifa’), maka ia tak perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) kerana asal usulnya adalah lemah, dan kerana kelemahan itu maka tidak perlu bersusah payah difikirkan andaian bahasa untuknya.

Kedua: Jika diandaikan masih ada kewajaran untuk membuat takdir lughawi bagi lafaz salawat itu dengan alasan kerana ia dicipta dan diamalkan oleh sebahagian ulama, maka perlu ditegaskan bahawa sebarang andaian bahasa mesti disokong oleh kaedah bahasa yang mantap. Mengikut kaedah bahasa Arab, jika perkataan mafcul mutlak hendak dihazaf (dibuang), maka perkataan yang menggantikan tempatnya mesti dibaca dengan fathah (baris atas) .

Dalam hal ini, jika diandaikan berlaku penghazafan (pembuangan) perkataan solat, maka perkataan tibb yang berada pada kedudukan ‘pengganti’ bagi perkataan solat itu mesti dibaca dengan fathah (baris atas). Oleh kerana perkataan tibb yang terdapat dalam lafaz asal Salawat Syifa’ (sebelum dibuat andaian) dibaca dengan kasrah (baris bawah), maka itu menunjukkan bahawa tidak berlaku sebarang penggantian antara perkataan tersebut dengan perkataan lain. Justeru, andaian kononnya ada perkataan solat sebelum perkataan tibb tidak boleh diterima kerana ia jelas menyalahi kaedah bahasa.

2) Mungkin ada yang berkata bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan. Dengan perkataan lain, jika berlaku perkongsian beberapa sifat seperti sifat hidup, mendengar, melihat dan sebagainya antara Allah dan makhluk maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing.

Jika sifat Maha Hidup, Maha Mendengar dan Maha Melihat Allah S.W.T boleh difahami dalam konteks yang berbeza dengan sifat hidup, mendengar dan melihat makhluk, maka sifat Maha PenyembuhNya juga boleh difahami dalam konteks yang berbeza antara kedua-duanya.

Jawapan


Pertama: Memang diakui bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, seperti yang berlaku pada sifat hidup, mendengar, melihat, bercakap dan sebagainya. Tetapi persoalannya di sini, sifat ‘penyembuh’ yang diberikan kepada Nabi s.a.w. itu diungkap melalui gaya bahasa yang mengandungi unsur mubalaghah (bersangatan). Maka itu, bagaimanakah sifat ‘Maha Penyembuh’ yang diberikan kepada Nabi s.a.w. itu boleh difahami dengan maksud yang tidak menimbulkan kesyirikan dengan sifat Maha Penyembuh Allah S.W.T?

Kedua: Bagaimana hendak digambarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat boleh berfungsi sebagai Maha Perawat, Maha Pengubat, Maha Penyihat dan Maha Penyembuh kepada orang yang masih hidup?

3) Mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mengamalkan salawat ini tidak bermaksud menyengutukan sifat Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifat Allah S.W.T, kerana kebanyakan yang mengamalnya tidak memahami maknanya, atau memahaminya dalam konteks yang tidak ada unsur tasybih.

Jawapan

Pertama: Alangkah mujurnya jika keadaan si pengamal salawat itu benar-benar seperti yang diandaikan, tetapi adakah realiti mereka sedemikian? Ramai yang cuba berbaik sangka dengan semua amalan umat Islam, lalu mereka rasa tidak perlu untuk menjelaskan kekeliruan mereka. Di sini, perlu ada kesedaran bahawa perkara aqidah tidak boleh diambil mudah atau didiamkan begitu sahaja dan sikap berbaik sangka perlu ada had sempadannya. Jika dipakai alasan berbaik sangka dalam hal sebegini maka bermakna kita terpaksa biarkan semua ajaran sesat, khurafat dan bidcah dengan alasan yang sama. Jika alasan berbaik sangka itu boleh diterima dalam persoalan aqidah, maka kenapa perlu digezetkan ajaran Wahdatul Wujud, Martabat Tujuh, Hakikat Nur Muhammad dan lain-lain sebagai sesat?

Kedua: Dalam kes akidah seumpama ini, bukankah wajar digunakan kaedah sad az-zarai’(menutup pintu-pintu kemudaratan) sebagai langkah berwaspada terhadap keselamatan akidah masyarakat Islam? Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

لا تُطروني كما أطْرَتْ النصارى عيسى بن مريم، إنما أنا عبدالله، فقولوا: عبدالله ورسوله

Maksudnya: “Jangan kamu melampau memuji aku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuji Isa Ibn Maryam A.S. Aku hanyalah seorang hamba Allah, maka katakanlah: seorang hamba dan pesuruh Allah .

Dalam hadith ini, Baginda s.a.w. melarang para Sahabat r.a. memujanya sebagaimana golongan Nasrani memuja Nabi Isa a.s., sebaliknya Baginda menyuruh mereka berpada setakat menyatakan statusnya sebagai seorang hamba dan rasul sahaja.
Larangan Nabi s.a.w. itu termasuk dalam kaedah Sad Az-Zaraic kerana kita sedia maklum bahawa cara para Sahabat r.a. memuji baginda tidaklah sampai ke tahap menyamakan sifat baginda dengan sifat Allah S.W.T, sebagaimana cara pemujaan kaum Nasrani terhadap Nabi Isa a.s. Tetapi Baginda s.a.w. tetap melarangnya kerana bimbang sekiranya perbuatan itu akan membawa kepada kesyirikan dan kekufuran tanpa disedari,
sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Pendekatan Nabi s.a.w. melarang para Sahabat r.a. daripada memujinya secara berlebihan adalah antara contoh paling tepat yang menunjukkan keperluan mengaplikasikan kaedah Sad Az-Zaraic dalam menangani persoalan akidah.

Dalam konteks Salawat Syifa’ itu, kaedah bahasa telah menunjukkan bahawa zahir maknanya telah menyifatkan Nabi s.a.w. melebihi sifat kehambaan dan kerasulan. Justeru, jika diandaikan ada ‘takwilan kecemasan’ bagi mengelakkan tasybih (penyamaan sifat Allah dengan makhluk), namun kebimbangan terhadap keselamatan aqidah para pengamalnya masih tetap wujud, Jika Baginda s.a.w. masih menaruh kebimbangan terhadap keselamatan aqidah para Sahabat r.a. yang telah sedia mantap itu, maka sangat wajar untuk kita merasa bimbang terhadap keselamatan aqidah masyarakat Islam hari ini yang memang sedia lemah. Bukankah kes seumpama ini menuntut kita memakai kaedah Sad-Az-Zaricah sebagaimana Nabi SAW memakainya?

Wallahuaclam

http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_hujah_view.asp?KeyIDv=1366

Sunday, April 19, 2009

Setiap yang hidup pasti merasai MATI..

jam 12tghari tadi aku dapat mesej dari seorang rakan memaklumkan beliau dalam perjalanan menziarahi kematian 3 orang pelajar kami. Sungguh aku terkejut dan tidak sangka sama sekali, rasanya baru semalam kami bertemu. Sungguh ajal maut ditangan tuhan. Apabila maut itu tiba tidak dapat dilewatkan walau sesaatpun.

Dalam keadaan masih terperanjat dan ada manik2 jernih membasahi mataku, aku ke rumah arwah yang dimaksudkan bersama suami dan 2 anak perempuanku. Syatrah dan Husna. Waktu kami tiba tinggal satu lagi jenazah yang akan dibawa ke tanah perkuburan dengan van jenazah, satu lagi telah dibawa dan satu lagi tidak ku ketahui kerana rumahnya jauh dari yang lain. hanya 2 yang sempat kami ziarahi.

ramai rakan2 guru yang datang menziarahi keluarga arwah. Sungguh aku tak dapat menahan sebak didadaku waktu aku peluk ibu arwah, dan kata ku " sabar, Allah lebih menyayangi beliau". tidak lama van pun pergi, pemergian buat selama2nya bersemadi di alam barzakh..

dari kisah yang ku dengar 4 yang terlibat semasa kejadian, seorang selamat manakala 3 lagi mati ditempat kejadian. kesemua mereka ditingkatan 5. Aku hanya ingin menceritakan perkara2 yang baik saja berkenaan pelaja2 ku ini. Kesemua mereka yang pergi ini termasuk yang terselamat pada pandangan mata zahirku adalah pelajar2 yang baik, sangat baik pada pandangan ku, anak2 yang baik, yang tulus murni hati2 mereka, sangat hormat pada guru, rajin, pendek kata tiada masalah disiplin. nakal2 tu biasalah, aku tak pernah tersinggung dengan mereka. Mereka semua anak2 yang baik.

yang pergi Allah lebih sayangkan mereka, agar tidak bertambah dosa2 mereka diatas muka bumi ini. yang hidup pun Allah sayangkan juga kerana diberi peluang untuk bertaubat dan insaf atas apa yang telah dilakukan.

Ya Allah! jiwaku sungguh tersentuh sekali, aku tak tahu kenapa, tapi aku merasa sayu dengan pemergian ketiga2 pelajar ku ini dalam usia yang sungguh tidak sesiapa menduganya. Terimalah mereka kembali kesisi Mu ya Allah, tenangkan mereka bersemadi di alam yang abadi, cucurilah rahmat ke atas roh mereka....Amiinn. Al-Fatehah buat Allahyarham-

1) Qairul-al-rafsanjani

2) Mohd Fudhail


3) Saiful Islam


yang terselamat :
khairul-al-farouq


gambar2 diambil dari blog cikgu ahmad khairul khusairi http://kualalangat.net/ahmadkhairul66/2009/04/20/3-orang-pelajar-tingkatan-5-samttar-maut/

Monday, April 13, 2009

Kesihatan itu satu rahmat..

Pagi Sabtu waktu sedang bertugas, aku dimaklumkan Adib demam chikugunya, sakit semua sendi2 katanya. Tapi menjelang petang macam dah okay nampaknya, rupanya bukan chikugunya, demam kena hujan semalam. Ahad Akmal ke Kundang pertandingan amal islami zon, acara bercerita dapat nombor 3, tak sangka anak aku sorang ni. Malamnya pula Husna pula buat hal, sebenarnya dari petang dia dah bising2 sakit perut, ingatkan angin ke, nak berak ke, apa ke...rupanya sakit tu berlarutan sampai malam, kejap2 menjerit sakit perut, sampai tertonggeng2. apalah nak aku buatkan dengan budak ni, sudahnya aku juga tak boleh tdo, sampai aku rasa macam terbang je pagi tu..

lepas subuh masih lagi terjerit2 sakit perut, sakit perut. So pagi tu bawa gi sri kota medical centre klang. Doktor Kumar kata ada food poisoning dan kencing kotor sikit, kurang air, masa tunggu nak ambil kencing tu punyalah susah, sejam aku tunggu husna kencing, tak kencing2 juga. totaly bayar RM81.90.

bila nikmat sihat tu ditarik seketika bukan saja yang empunya diri yang merasa sakit malah semua yang berada berhampirannya turut merasakan kesakitan itu...
apa lagi nak merapu ni, cukuplah tu, just nak merekodkan peristiwa yang berlaku hari ini..Letih? jangan cakap Tuhan jelah yang tahu. Letih dengan gayaku tersendiri :)) Lepas ni nak lipat kain, nak basuh kain, nak gosok baju, siapkan power point P&P, letak label harga barang2, basuh pinggan, lepas tu solat isyak lepas tu gedebummm...tdo...esok start balik haru biru..hehehe..wassalam.

Wednesday, April 8, 2009

Tiga kategori sekolah 2010

Oleh OPAT RATTANACHOT

HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kanan) beramah mesra dengan murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau ketika melakukan lawatan ke sekolah itu sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah.

Kerajaan akan mentakrif semula jenis-jenis sekolah kepada tiga kategori menjelang tahun 2010.
Tiga kategori tersebut ialah Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dan memudahkan kerajaan menyusun peruntukan kewangan mengikut kesesuaian pada masa akan datang.

“Saya akan membentangkan satu rangka tindakan mini kepada Kabinet tidak lama lagi berhubung penakrifan semula kategori sekolah.

“Menjelang tahun 2010, kita hanya ada tiga kategori sekolah berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu pertama, Sekolah Kerajaan yang mana ada Sekolah Kebangsaan di bawahnya.

“Yang kedua pula, Sekolah Bantuan Kerajaan yang ada empat jenis di bawahnya iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Kerajaan.

“Bagi sekolah swasta terdiri daripada sekolah yang tidak dibantu oleh kerajaan seperti sekolah antarabangsa dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM210,000 bagi tujuan meningkatkan kemudahan pendidikan di SJKT Ladang Sungai Getah, dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Datuk S. Ganesan dan Guru Besar SJKT, G. Vimaladewi.

Kata Hishammuddin, penakrifan semula kategori sekolah itu diharap dapat memberikan gambaran yang jelas kepada rakyat.
“Sebelum ini kita lihat isu-isu SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama dieksploitasikan pihak-pihak tertentu.

“Keadaan ini berlaku kerana orang keliru dengan macam-macam jenis takrif sekolah. Malah, isu pendidikan juga disensasikan mengikut perjuangan kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata, eksploitasi isu pendidikan telah meninggalkan kesan negatif kerana boleh menjejaskan usaha membangunkan sektor tersebut.
“Kita merasakan semua pihak perlu berhenti memainkan isu pendidikan mengikut sentimen kaum dan agama,” katanya.

Katanya, pakej rangsangan ekonomi yang disalurkan terutama dalam sektor pendidikan menggambarkan kerajaan BN sentiasa komited untuk terus membantu sekolah pelbagai aliran.

Kes Norman-Memey kelam-kabut - Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak tiba-tiba tarik diri

NORMAN Hakim masih mampu ketawa biarpun Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam menolak representasi supaya kes khalwatnya bersama Memey Suhaiza digugurkan.

MEMEY


KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam yang mendengar kes khalwat pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza menjadi kelam-kabut seketika apabila hakim syarie mahkamah itu tiba-tiba menarik diri.

Pengumuman Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengejutkan orang ramai yang berada di galeri awam mahkamah tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa penarikan dirinya daripada mendengar kes tersebut dibuat setelah dinasihatkan oleh Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Zohdi Toha.

Mahyuddin memberi alasan terdapat pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan spekulasi dan perbincangan secara terbuka berhubung prosiding kes syariah di media cetak dan elektronik yang sepatutnya diadili di Mahkamah Syariah.

"Tindakan itu telah menimbulkan subjudis dan boleh dianggap menghina mahkamah yang mana ia telah mendahului proses perundangan syariah," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak-pihak terbabit supaya menghormati perbicaraan dan kod etika kerja masing-masing supaya tidak mengganggu prosiding mahkamah.

Sementara itu, harapan aktor Norman Hakim dan pelakon muda Memey Suhaiza untuk melepaskan diri daripada tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini
musnah apabila representasi mereka ditolak Ketua Pendakwa Syarie Selangor.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pegawai Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhamad Nazri Basrawi yang mengendalikan pendakwaan terhadap kedua-dua pelakon itu.
"Setelah meneliti kertas pendakwaan, representasi yang dikemukakan peguam syarie tertuduh pada 26 Februari lalu untuk menggugurkan pertuduhan itu ditolak dan kami berhasrat untuk teruskan perbicaraan memandangkan saksi telah hadir hari ini," katanya.

Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Norman dan Memey turut mengesahkan perkara itu dan bersetuju supaya perbicaraan kes khalwat yang melibatkan mereka diteruskan.

Norman, 33, dan Memey, 21, yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 3 pagi 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini